suria

Kastam gagalkan cubaan seludup dadah bernilai RM3.85 juta

BUKIT KAYU HITAM: Kastam Kedah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 70 kilogram dadah dipercayai jenis methamphetamine bernilai RM3.85 juta di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dekat sini, Isnin  lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam berkata dadah berkenaan ditemukan dalam sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz yang melalui lorong pemeriksaan kenderaan di ICQS berkenaan pada 9.30 pagi.

“Kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran tempatan, dipandu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang datang dari negara jiran.

“Hasil pemeriksaan awal terhadap kereta tersebut, pegawai pemeriksa mengesyaki bonet belakang kereta tersebut seolah-olah diubah suai,” katanya pada sidang media  pada Rabu.

Pemeriksaan rapi selanjutnya menemui kesemua 70 bungkusan dadah yang dibalut plastik lutsinar di ruangan tersembunyi dalam bonet kenderaan yang diubah suai, kata Subromaniam. -Bernama

Dadah, kastam

Artikel Lain