suria

Jom sokong program kebaikan, jumpa selebriti di karnival #StandTogether

PETALING JAYA: Artis Ismail Izzani, yang pernah menjadi mangsa buli siber akan memeriahkan karnival #StandTogether pada Ahad ini di Setia City Convention Centre, Setia Alam.

"Saya pernah dibuli online. Sebab itulah saya menyokong Kempen Kebaikan Kebangsaan dan saya sangat teruja untuk berjumpa anda semua di karnival ini. Jomlah beri sokongan," katanya.

Ismail akan mempersembahkan lagu hit 'Sabar' di karnival tersebut.

Ismail Izzani

Artis seperti Harith Iskander dan Lisa Surihani serta selebriti sosial media Arwind Kumar juga akan hadir untuk berkongsi pengalaman mereka dibuli serta berkongsi cara-cara dalam membangunkan masyarakat yang lebih bersikap baik hati.

"Saya sangat menggalakkan anda semua untuk hadir ke karnival ini.

"Jom kita semua sokong kempen #StandTogether. Kan bagus kalau kita boleh menjadikan Malaysia satu negara yang warganya semua baik hati," kata Harith.

Karnival yang berlangsung selama sehari itu turut menghimpunkan pelbagai acara menarik seperti karnival permainan, trak makanan, bazar, pameran dan permainan Petrosains serta taklimat pendidikan untuk guru-guru dan ibu bapa.

Lisa Surihani

Lebih menarik, pengunjung akan dapat menyaksikan demonstrasi seni mempertahankan diri seperti Muay Thai dan campuran seni mempertahankan diri (MMA) oleh Ann Osman.

Barisan pelakon drama pendidikan Oh My English! juga akan turut serta untuk satu sesi 'meet and greet' eksklusif.

Karnival ini terbuka kepada semua dan masuk adalah percuma.

Untuk mendaftar kehadiran, sila layari bit.ly/stcarnival.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain