suria

Tular TMJ belanja penduduk Pontian hanya berita palsu!

PONTIAN: Biarkan tular mengenai kehadiran Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ke Pasaraya Econsave Pontian telah disahkan palsu, namun orang ramai masih tidak berganjak menunggu di pasar raya berkenaan sejak jam 10 pagi Khamis.

Dianggarkan, lebih 1,000 pengunjung menanti penuh harap di pasar raya berkenaan agar TMJ datang untuk membayar barangan yang mereka beli sebagaimana yang berlaku semalam di Aeon Mall Tebrau City di Johor Bahru, semalam apabila TMJ membayar segala perbelanjaan pelanggan yang berkunjung ke sana.

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai telah memenuhkan troli dengan pelbagai barangan namun ia dibiarkan begitu sahaja sehingga menyebabkan berlaku kesesakan di dalam pasar raya.

Tidak cukup di dalam, di luar pula anggota polis ditempatkan bagi mengawal lalu lintas berikutan pertambahan kenderaan yang mendadak ke pasar raya itu sejak tengah hari tadi.

Pengurus Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam  berkata, dianggarkan lebih 300 troli yang penuh dengan pelbagai barangan dibiarkan begitu sahaja di dalam pasar raya berkenaan.

Katanya, pihaknya telah menghubungi polis bagi mendapatkan kesahihan mengenai berita yang tular mengenai kehadiran TMJ pada jam 12.00 tengah hari.

Bagaimanapun, menurutnya berita berkenaan adalah palsu.

“Memang menyusahkan ada banyak barang kami yang rosak dan kerja-kerja mengemas perlu dilakukan lepas ini.

“Lebih teruk lagi, masih ada yang percaya TMJ akan datang walaupun pengumuman berita tular itu palsu telah dibuat berulang kali,”katanya.

Terdahulu, satu pesanan suara seorang lelaki yang tidak dikenali identitinya tular mendakwa kononnya Tunku Ismail hadir ke setiap daerah di negeri ini untuk belanja rakyat.

Lelaki tersebut mendakwa, TMJ membawa bersama kira-kira RM100,000 ke Econsave Pontian pada jam 12 tengah hari.

Dakwanya lagi, Tunku Ismail memperuntukkan RM200 kepada setiap keluarga yang hadir.


TMJ, Pontian

Artikel Lain