suria

'Beriman' dengan parti politik satu kesilapan besar

Mohd Asri Zainul Abidin.

SHAH ALAM: “Sesiapa yang bersemangat mempercayai sepenuhnya apa yang dibawa mana-mana parti, maka dia akan kecewa,” kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas situasi rakyat dalam memilih parti yang selayaknya menjelang PRU14 nanti.

Beliau mengingatkan sekiranya rakyat cuba ‘beriman’ dengan segala dakwaan dan janji parti-parti yang ada, maka itu sebenarnya satu kesilapan yang besar.

“Dalam persaingan politik kepartian yang sedang kita saksikan, sebenarnya bukanlah percaturan pemilihan antara yang terbaik dalam kalangan yang baik. Sebaliknya, ruang pemilihan yang paling kurang mudarat antara yang mudarat, itulah realiti yang ada.

“Kita sedang mencari antara yang kurang temberang dalam kalangan yang temberang,” kata beliau menerusi laman Facebooknya malam Khamis.

Beliau berkata, dari segi tuntutan agama, seharusnya setiap individu hendaklah berpegang dan berdiri atas prinsip, sementara orang politik bicaranya berubah berdasarkan musim undian dan kuasa yang ingin diperolehi.

“Apa yang sedang kita saksikan daripada ahli politik yang berserban sehingga yang ke kelab malam, berbohong itu seakan rukun mereka dalam berpolitik.

“Semalam mereka halalkan, hari ini mereka mengharamkan. Semalam mereka nerakakan, hari ini mereka beri label syurga. Semalam mereka bantah, hari ini mereka sokong. Bukan sahaja berita media mereka putar, nas-nas agama juga mereka pusing mengikut kehendak semasa mereka,” katanya.

Justeru, Mohd Asri menasihatkan rakyat supaya memilih parti politik yang paling kurang bahaya iaitu yang lebih dekat untuk mencapai urus tadbir negara dengan lebih cekap dan telus.

“Memang, sepatutnya kita mencari yang paling cemerlang dalam kalangan yang terbilang untuk diberikan tanggungjawab pentadbiran negara. Namun, malangnya yang tinggal kini kita mencari siapakah yang dijangka kurang merosakkan urus tadbir negara jika diberikan kuasa,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau mendakwa parti-parti yang gah dengan pelbagai slogan dan manifesto itu, kesemuanya tiada ketelusan dan rakus terhadap kuasa.

“Individu-individu yang memimpin setiap parti itu mempunyai pelbagai kehendak dan kepentingan diri. Di samping, kita tidak menafikan di sana ramai juga yang ikhlas dalam pelbagai parti yang ada.

“Mereka itu ‘ghuraba’ (orang asing) dalam lautan cita-cita politik yang sering kali mempunyai ‘kehendak peribadi’ yang dihiasi dengan ungkapan ‘demi kepentingan rakyat’,” katanya. - Sinar Online

PRU14

Artikel Lain