KALAU dah kreatif, tempurung kelapa dan ikan buntal pun boleh jadi cantik. Itulah usaha yang dilakukan seorang lelaki dari Kampung Bahagia, Mersing yang menjana pendapatan melalui tempurung kelapa, ikan buntal dan kayu. Kassim Hassan memulakan seni kraf tangan itu sejak dua tahun lalu dengan menghasilkan rantai kunci dan pasu bunga daripada tempurung kelapa sahaja. Berjalannya masa, dia mengembangkan produknya kepada ikan buntal hiasan sebelum beralih kepada seni kayu. “Saya bermula dengan tempurung kelapa pada 2016. Saya buat pasu, tempat letak pensel, rantai kunci dan macam-macam. “Selepas itu saya mendapat sokongan Industri Kecil Sederhana (IKS) Daerah Mersing. Sejak itulah saya mula secara komersial,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Bahagia. Menurutnya, seni ikan buntal hiasan timbul apabila teringat arwah ayahnya yang pernah menghasilkan ikan buntal hiasan puluhan tahun lalu. Ikan buntal yang dijadikan hiasan dijual antara RM25 hingga RM250 setiap satu. “Ketika arwah ayah saya masih hidup, dia bekerja sebagai nelayan jadi saya pernah tengok ayah siang ikan buntal. “Arwah keringkan dan simpan jadi hiasan dan tak tahu macam mana hujung tahun lepas tiba-tiba saya teringat balik. Saya cuba buat dan menjadi. Setakat ni sudah lebih 1,000 ekor yang saya buat hiasan atau lampu hiasan,” katanya. Ikan buntal dijual antara RM25 hingga RM150 setiap satu bergantung kepada saiz. Terdedah racun ikan Kassim akui terdedah dengan racun ikan buntal dan pernah dirawat beberapa bulan sebelum ini. “Bayangkan berapa banyak saya siang setiap hari. Saya pula memang tak pakai sarung tangan sebab lagi susah nak buat. “Jadi memang saya pernah sakit beberapa bulan sebab racun ikan buntal ini,” katanya yang mendapat stok ikan buntal daripada nelayan tempatan. Namun, bapa kepada dua anak ini tidak mengenal erti putus asa dan tetap meneruskan usahanya. “Saya masih buat lagi ikan buntal dan sekarang saya ceburi seni kayu pula. “Pasaran setakat ini sudah sampai ke Langkawi, Kedah. Di Mersing ramai yang datang membuat tempahan dan membeli di rumah saya. Saya juga ada buka kedai di pantai Air Papan untuk menjual produk-produk yang ada,” katanya. Ketika ditanya sumber ilhamnya menghasilkan seni kraf tangan itu, Kassim berkata, dia hanya memerhatikan pelukis lain mewarna sedangkan seni melukis memang sudah ada sejak di bangku sekolah. “Saya tak belajar khusus tapi saya tengok orang mencanting batik. Jadi saya belajar daripada situ. Saya perhati apa dia buat,” katanya. Peroleh hingga RM2,000 sebulan Kassim berkata, setiap bulan dia memperoleh pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 bergantung kepada permintaan. “Kadang-kadang sebulan pendapatan saya antara RM1,000 hingga RM2,000. “Kraf tangan boleh beri pulangan sebenarnya tapi bergantung kepada kelengkapan peralatan yang diperlukan. Macam nak buat ukiran, kalau tak ada mesin susah juga untuk berkarya,” katanya. Kassim menerima bantuan daripada Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad sebanyak RM8,000 untuk membeli mesin dan peralatan sebelum ini. Dalam pada itu, Kassim merancang untuk memiliki bengkel dan tempat pameran sendiri pada masa akan datang. “Saya harap akan dapat bantuan untuk membina bengkel dan tempat pameran di sebelah rumah saya. “Kalau orang datang nak melawat, kita ada tempatnya yang lebih selesa,” katanya. - Sinar Online