PETALING JAYA: Sembilan pelajar sekolah menengah yang terlibat dalam rakaman seorang pelajar lelaki dibelasah pada sambutan hari jadinya ditahan pada pagi Isnin. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata, sembilan pelajar berusia 17 tahun itu adalah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong, Shah Alam. Kata beliau, kesemua mereka ditahan sebelum dilepaskan dengan ikat jamin polis. ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar sambut hari jadi dipukul buat laporan polis "Mereka ditahan pada pukul 11.30 pagi Isnin sebelum dilepaskan pada pukul 4.45 petang," katanya ketika dihubungi pada Isnin. Penahanan itu dibuat selepas mangsa yang juga berusia 17 tahun membuat laporan polis pada pukul 9 malam Ahad berhubung kes terbabit. "Kami sedang menyiasat kes yang didakwa berlaku pada 8 Februari," katanya. Video itu menunjukkan lapan pelajar, termasuk seorang dalam seragam pengawas, menyanyikan lagu "Happy Birthday" kepada mangsa sebelum menyerangnya dengan penyapu, menendang dan memukul. Difahamkan bahawa serangan itu secara tradisinya diamalkan oleh pelajar di sekolah tersebut untuk "meraikan" hari jadi pelajar.