suria

Kutuk orang 'paha melimpah', Kak Zai dicabar cakap depan!

KENYATAAN pedas pengkritik fesyen, Zaihani Mohd Zain yang mengutuk individu berbadan besar nampaknya memakan diri apabila dia dibidas oleh penggiat dan pereka fesyen tempatan.

Pereka fesyen terkenal, Datuk Tom Abang Saufi adalah salah seorang rakan industri yang dilihat 'tidak senada' dengan kenyataan tular oleh wanita yang mesra dipanggil Kak Zai itu.

Tom, melalui laman Instagramnya berkata, sejak dahulu lagi berat badan seseorang tidak pernah menjadi isu dalam pertunjukan fesyen di peringkat global yang dihadirinya sebelum ini.

"Orang berbadan besar di kerusi paling hadapan. Saiz dan berat badan bukan isu.

"Saya suka Suzy Menke dan Andre Leon Talley, Anna Wintour pun tiada masalah duduk bersebelahan mereka," tulisnya sambil menyertakan gambar-gambar mereka sebagai bukti kepada apa yang ditulisnya.

Selain Tom, seorang lagi pereka tempatan, Calvin Thoo turut meluahkan nada serupa menerusi laman Facebooknya.

Menurut Calvin, seseorang itu tidak berhak mengkritik dan menentukan individu yang berbadan gempal tidak layak menghadiri pertunjukan fesyen.

Dia turut mencabar Kak Zai supaya berdepan dengan individu berbadan besar dan menyuarakan pendapatnya secara bersemuka jika dia betul-betul berani.

"Saya kenal wanita ini dan bagaimana dia bekerja. Perasan je lebih. Dia fikir dia siapa? Dia tak tahu ke ramai orang tak suka dia," dakwa Calvin dalam postingnya.

Tambahnya lagi, berat badan bukanlah satu isu kerana ia merupakan tanggungjawab pereka fesyen untuk membuat pakaian berdasarkan ukuran badan seseorang.

Model dari Malaysia yang pernah mencipta nama menerusi program Asia's Next Top Model, Alicia Amin turut menyelar kenyataan Zaihani.

Dia yang juga pelakon drama 'Meh Sandar Lagi' ini berkata, tiada ruang dalam industri untuk mereka yang kejam.

"Mungkin tiba masanya untuk mereka yang veteran membuka ruang kepada individu yang 'fresh' dan lebih peka dengan sosial," tulisnya.

Menerusi tweet itu, dia turut menyertakan tanda pagar #PehaMelimpah dan #StopBodyShaming merujuk kepada kenyataan Facebook Zaihani.

Dalam pada itu, status kontroversi Kak Zai mengenai isu berat badan itu dipercayai sudah dipadam dari laman Facebook peribadinya.

Menerusi posting itu, dia dilihat seolah-olah menghina individu yang berbadan besar.

"Kalau berat badan melebihi 60 kilogram, tak payahlah datang sebabnya paha awak tu melimpah kat kerusi sebelah kiri dan kanan awak.

"It's so awkward and uncomfortale for the persons seated next to you (Ia nampak janggal dan tidak selesa bagi mereka yang duduk bersebelahan dengan awak)," tulisnya di Facebook.

Dia dipercayai meluahkan ketidakpuasan hatinya selepas duduk bersebelahan dengan seorang individu berbadan besar di sebuah pertunjukan fesyen.


Artikel Sebelum

Artikel Lain