suria

'Paha melimpah' jadi perhatian antarabangsa!

Paparan skrin laporan oleh 'The Independent' mengenai pengkritik fesyen Malaysia yang mengeluarkan kenyataan kontroversi berkaitan individu bertubuh besar.

PETALING JAYA: Kontroversi membabitkan pengkritik fesyen, Zaihani Mohd Zain yang terpalit dengan isu 'paha melimpah' turut mendapat perhatian beberapa media antarabangsa.

Antara agensi antarabangsa yang tidak terlepas melaporkan mengenai komen pedasnya terhadap individu berbadan besar adalah The Independent dari United Kingdom (UK), The Telegraph (UK), Metro (UK) dan New Delhi Television Limited (NDTV) dari India.

Turut melaporkan mengenai isu tersebut adalah Saudi Gazzette (Arab Saudi), Agence France-Presse (AFP) dan Revelist (Amerika Syarikat).

ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan niat saya untuk menghina tapi…” – Kak Zai

Zaihani telah menurunkan kenyataannya di Facebook yang mengkritik individu berbadan besar.

The Independent  yang memetik laporan Malaysia Tatler pada 2016 menyatakan Zaihani pernah menggesa pencinta fesyen agar menjaga garis pinggang (berat badan) mereka dengan teliti.

"Jika anda cintakan fesyen dan gemar menggayakan pakaian, jadi ada pengorbanan yang perlu dilakukan.

"Jaga berat anda. Orang boleh kata saiz tidak penting tapi siapa yang kita nak tipu? Ia penting!

"Kenapa anda fikir rumah fesyen ternama tidak mempunyai ruang untuk wanita bersaiz besar?," lapor The Independent.

Sementara itu, The Telegraph pula memetik kenyataan daripada Datuk Tom Abang Saufi yang memuat naik gambar di Instagram, menunjukkan beberapa figura fesyen berpengaruh dalam pelbagai bentuk saiz badan.

Paparan skrin daripada posting yang dimuat naik oleh Tom pada laman Instagramnya.

Tulis Tom: "Barisan depan 'heavy weights'...Anna Wintour tiada masalah duduk bersama Andre Leon Talley atau Suzy Menkes...Boom."

Lapor The Telegraph, pereka kelahiran Borneo itu turut berkongsi gambar dirinya yang mengalami perubahan saiz berat badan.

Dalam pada itu, NDTV pula melaporkan kajian yang dibuat oleh jurnal perubatan UK, The Lancet bahawa kritikan Zaihani tersebut dilihat seperti tidak sensitif memandangkan negara ini memiliki masalah berat badan dan Malaysia mempunyai kadar obesiti tertinggi di Asia.

Zaihani Mohd Zain, paha melimpah

Artikel Sebelum

Artikel Lain