suria

Tunggakan gaji Adelina RM69,300 sejak 2014 diserah kepada keluarga

Tertuduh, Ambika diiringi oleh seorang polis untuk masuk ke perkarangan mahkamah pada Khamis.

BUKIT MERTAJAM: Keluarga pembantu rumah Indonesia, Adelina Lisao yang disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas kurang 24 jam selepas diselamatkan, menerima bayaran tunggakan gaji yang dihutang oleh majikannya.

Konsul Jeneral Indonesia, Iwanshah Wibisono berkata, majikan Adelina membayar keluarganya sebanyak RM69,300 iaitu gaji keseluruhannya sejak mangsa mula bekerja pada Disember 2014.

"Saya harap kes itu dapat diselesaikan tidak lama lagi untuk memastikan keadilan ditegakkan," kata Iwanshah di luar mahkamah, Khamis.

Beliau hadir untuk sebutan kes berkaitan tuduhan bunuh terhadap S. Ambika, 59, di mahkamah majistret di sini.Wanita itu didakwa membunuh Adelina di sebuah rumah di Medan Kota Permai 2, Taman Kota Permai, pada pukul 5 petang 10 Feb 2018.

Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar menetapkan 28 Mei untuk sebutan yang seterusnya, sementara menunggu laporan patologi.

Mahkamah diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Hamzah Azhan bahawa mereka masih menunggu laporan itu.

Ambika didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Adelina meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam pada 11 Feb lepas selepas diselamatkan sehari sebelumnya dari rumah Ambika, di mana dia ditemui tidur di anjung rumah tersebut dengan anjing jenis Rottweiler.

Adelina mengalami luka di tubuhnya dan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kegagalan beberapa organ akibat anemia.

Adelina Lisao

Artikel Sebelum

Artikel Lain