suria

“Ipoh... Sabak... Kuala Lumpur!” Kelantangan suara Aziz tinggal kenangan

Beginilah suasana bandar Teluk Intan yang suatu ketika dahulu kerap terdengar pekikan suara Aziz di stesen teksi.

“IPOH... Sabak... Kuala Lumpur!” Laungan ini bergema kembali di telinga penulis ketika melalui Jalan Mahkota, Teluk Intan, Perak baru-baru ini. Walaupun sudah berpuluh dekad berlalu, laungan ini bagai baru semalam kedengaran.

Lokasinya ialah stesen teksi Jalan Mahkota, pada akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an. Laungan ini memang sudah sinonim dengan penduduk Teluk Anson (Teluk Intan), penumpang teksi atau penumpang bas serta orang ramai yang melalui stesen teksi berkenaan.

Kebetulan stesen bas Teluk Intan terletak sangat hampir dengan setesen teksi ini. Oleh itu setiap kali penulis datang ke Teluk Intan bersama bapa atau abang dengan menaiki bas dari kampung, pasti akan mendengar laungan ini.

Stesen teksi Jalan Mahkota kini sudah tiada tetapi kenangan “Ipoh… Sabak… Kuala Lumpur!” segar dalam ingatan. Terbayang di mata penulis betapa seorang jejaka berpakaian kemas, bertopi dan berkaca mata hitam, tanpa jemu bertali arus melantunkan laungan tersebut. Mirip wajahnya bagai bintang filem Hindustan. Namanya Aziz.

Menara Condong antara tarikan di Teluk Intan yang mempunyai sejarahnya sendiri.

Kadang-kadang penulis pergi hampir dengan stesen teksi itu dan menyaksikan gelagat Aziz melantunkan “Ipoh… Sabak… Kuala Lumpur!” sambil tangannya melambai-lambai kepada orang ramai yang lalu lalang.

Setiap kali ada orang melintas melalui stesen teksi atau turun daripada kereta berhampiran stesen teksi itu, atau turun daripada bas, pasti akan dengan pantas dia bersuara, “Ipoh… Sabak… Kuala Lumpur!”

Aziz mahu menarik perhatian orang ramai menggunakan khidmat teksi dari stesen berkenaan, khususnya untuk ke tiga destinasi iaitu Ipoh, Sabak Bernam dan Kuala Lumpur.

Pada tahun 1960-an dan 1970-an, teksi merupakan pengangkutan awam penting dari Teluk Intan ke destinasi lain. Ketika itu belum ada Lebuhraya Utara Selatan. Perjalanan dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur menggunakan jalan persekutuan (jalan lama) merentasi pekan seperti Bidor, Slim River, Tanjung Malim dan Rawang.

Ketika itu juga belum ada ada jambatan yang merentasi Sungai Bernam, sempadan semula jadi negeri Perak dan Selangor. Juga tiada jambatan di Kuala Selangor. Perkhidmatan feri digunakan di kedua-dua lokasi ini.

Teksi menjadi pilihan ketika itu kerana tempoh perjalanan lebih cepat. Tambang juga tidak terlalu mahal, misalnya RM7 untuk perjalanan dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur.

Pada era 1970-an, teksi jenis Mercedes ini yang dipaggil teksi 3 bintang kerana logonya itu menjadi pilihan ramai. Kenderaan ini masih lagi kelihatan kalau ke Teluk Intan.

Namun bukan mudah untuk mendapatkan penumpang yang mencukupi bagi memenuhi sesebuah teksi sebelum boleh bergerak ke sesuatu destinasi tertentu. Setiap teksi memerlukan empat penumpang sebelum ia boleh memulakan perjalanan. Seorang penumpang di depan, tiga di belakang.

Mendapatkan penumpang adalah tugas mencabar bagi Aziz. Kerana itu dia tidak jemu berterusan melaungkan “Ipoh… Sabak… Kuala Lumpur!” 

Walaupun mengambil masa untuk mendapatkan penumpang, Aziz tetap sabar sambil melambai dan menghampiri orang ramai yang melalui stesen itu sambil bertanya samaada mereka memerlukan teksi.

Ipoh, Sabak Bernam dan Kuala Lumpur adalah destinasi popular. Namun perkhidmatan teksi juga disediakan untuk destinasi lain seperti Kampar, Bidor, Tanjung Malim dan lain-lain.

Menunggu empat penumpang bagi mencukupi jumlah ke sesuatu destinasi memerlukan kesabaran. Jika yang datang hendak menaiki teksi memang satu kumpulan empat orang, maka teksi boleh terus bergerak.

Tetapi ada kalanya perlu menunggu bagi mencukupkan empat orang. Penumpang yang datang awal terpaksa bersabar menunggu yang lain. Itulah proses pergerakan teksi, tidak seperti bas yang bergerak menurut jadual walaupun penumpang tidak penuh.

Terminal bas Teluk Intan ini menggantikan kemudahan teksi yang menjadi tumpuan suatu ketika dahulu.

Namun Aziz sudah biasa dengan situasi ini dan dia tidak bimbang. Dia ada cara menarik penumpang dengan lambaian tangan dan pujukan mesranya. Kuota empat penumpang ini dapat dipenuhi dalam waktu tidak terlalu lama.

Teksi yang digunakan ketika itu jenama Mercedes atau dulu-dulu disebut sebagai ‘Cap Bintang’. Ia sangat memberi keselesaan kepada penumpang.

Pada waktu itu, feri adalah penghubung untuk menyeberangi Sungai Bernam dari Perak ke Selangor dan sebaliknya. Feri kecil ini hanya boleh memuatkan beberapa buah kereta dan motosikal pada satu-satu masa. Jika membawa bas atau lori lagilah sedikit muatannya.

Oleh itu kerap kali berlaku barisan panjang untuk menyeberang dari kedua-dua hala. Justeru untuk menyeberang mengambil masa yang lama terutama ketika musim perayaan di mana kenderaan berkali ganda banyaknya.

Pekan Sabak Bernam hanya dua atau tiga kilometer dari tempat feri berlabuh di tebing Sungai Bernam sebelah Selangor. Bagi mereka yang menaiki teksi dari Teluk Intan, mereka akan turun dan menaiki feri di sebelah Perak.

Apabila mereka sampai di sebelah Selangor, sebuah teksi lain sebagai teksi sambungan menunggu dan membawa mereka ke Sabak Bernam.

Sebahagian Bandar Teluk Intan.

Dengan pembinaan jambatan merentasi Sungai Bernam, perjalanan menggunakan jalan pesisir pantai barat lebih lancar. Ini kerana di Kuala Selangor yang satu ketika dahulu menggunakan khidmat feri juga sudah digantikan dengan jambatan.

Pengangkutan awam seperti bas ekspres yang menghubungkan Teluk Intan dengan Ipoh, Kuala Lumpur atau Sabak Bernam dan bandar lain juga semakin banyak.

Justeru lebih ramai kini beralih kepada bas untuk menuju destinasi mereka. Bukan sahaja kerana tambang lebih murah tetapi juga bas-bas ekspres ini cantik dan selesa serta berhawa dingin.

Begitulah peredaran masa mengubah segalanya. Seperti mana stesen teksi di Jalan Mahkota sudah tiada, laungan Aziz yang tidak pernah jemu memanggil dan memujuk pelanggan juga tidak lagi kedengaran.

Sesungguhnya penulis rindu dengan laungan “Ipoh… Sabak… Kuala Lumpur!” yang tidak mungkin bergema lagi. 

Dalam kerinduan ini penulis tertanya-tanya: “Di manakah Aziz sekarang? Masih adakah dia?”

Teluk Intan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain