MIRI: Polis menahan seorang guru sebuah sekolah rendah di Batu Niah dipercayai telah mencabul kehormatan seorang murid perempuan Tahun Dua. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, guru lelaki berusia 40 tahun itu ditangkap pada 3.30 petang pada Selasa di pekarangan Balai Polis Miri. “Mangsa adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun kini belajar di Tahun Dua namun perbuatan mencabul itu dipercayai mulai berlaku sejak mangsa Tahun Satu,” katanya dalam kenyataan, Rabu. Dev berkata, perbuatan guru tersebut terbongkar apabila ibu mangsa berusia 26 tahun diberitahu oleh mangsa sendiri bahawa suspek sering mencabul kehormatannya dalam kelas di belakang meja guru yang menjurus kepada laporan polis dibuat pada bulan ini. “Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) dan 16(1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya sambil menambah perintah untuk mendapatkan tahanan reman akan dibuat pagi ini.-- Bernama