suria

Ibu lima anak pecah amanah jual beli rumah dipenjara dua tahun

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang bekas peguam wanita dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan pecah amanah dalam urusan jual beli rumah melibatkan nilai RM270,000, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Saidatul Karimah Nasron, 38, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan hukuman penjara bermula Khamis.

Pada 26 Mac lalu, Saidatul Karimah yang ketika itu peguam di firma Messrs Saida Karima  and  Co mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang tunai hasil jualan rumah milik seorang pengarah syarikat pembinaan, Junainah Yusof, 60, di Hulu Klang.

Tertuduh yang kini seorang peniaga  melakukan perbuatan tersebut di firma berkenaan di Jalan Wangsa Delima 11, D'Wangsa Link, Pusat Bandar Wangsa Maju di sini pada 9 Okt 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Terdahulu wanita itu  yang diwakili peguam Khairul Aiman Yusoff Looi memohon hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada  24 Mac lalu dengan alasan tertuduh kini mengandung sebulan dan mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah namun Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne memohon hukuman penjara bermula pada Khamis.

Suasana pilu menyelubungi galeri awam di mahkamah apabila hakim membenarkan Saidatul Karimah yang berada di kandang tertuduh mendukung anak bongsunya yang masih kecil dengan tangannya bergari sambil mengesat air mata. - Bernama

pecah amanah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain