LARUT: Khabar angin mula bertiup kencang menyatakan penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias akan bertanding pada PRU kali ini atas tiket bebas. Lebih menarik perhatian, dua abangnya iaitu Timbalan Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Mohd Najmuddin Elias dan penyandang kerusi Dun Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah turut menimbang keputusan untuk bertanding bebas. Mohd Kazim dalam satu status dimuat naik dalam akaun Instagramnya turut memberi bayangan tersebut dengan gambar beliau seakan berada di lapangan terbang. Menurut sumber, jika benar berlaku, Mohd Kazim mungkin akan bertanding di kerusi Parlimen Larut dan Dun Selama, manakala Ahmad Hasbullah akan mempertahankan kerusi Dun Kubu Gajah dan Mohd Najmuddin pula akan kembali bertanding di kerusi Dun Batu Kurau. Sementara itu, menurut sumber, minggu lalu enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi Dun Kubu Gajah mengadakan bantahan bagi mendesak Ahmad Hasbullah dicalonkan semula pada PRU14. Malah kumpulan terbabit juga menyatakan, sekiranya Ahmad Hasbullah tidak dicalonkan, maka mereka akan mendesak beliau bertanding atas tiket bebas. Bekas Adun Batu Kurau, Mohd Najmuddin ketika dihubungi Sinar Harian berkata, buat sementara waktu beliau enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan berkenaan. “Buat masa sekarang no komen dulu lebih selamat. “Tapi saya terima pun tidak, nafi pun tidak perkara tersebut kerana saya sendiri tak dengar lagi khabar angin ini,” katanya. Dalam pada itu, usaha mendapatkan komen Hasbullah dan Mohd Kazim gagal apabila kedua-duanya gagal dihubungi. - Sinar Online