suria

CAAM tidak temui petunjuk pesawat Dr M disabotaj

PETALING JAYA: Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak menemui sebarang petunjuk mengenai dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad pesawat yang sepatutnya dinaiki telah disabotaj.

Pengerusi Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata pesawat itu tidak dapat terbang kerana mengalami kebocoran udara di roda kiri, yang merupakan kesalahan teknikal kecil dan rutin.

"Tuduhan sabotaj terhadap pesawat sangat serius dan boleh memberi kesan kepada reputasi penerbangan Malaysia dan negara secara keseluruhannya, terutama dalam tempoh sensitif pilihan raya umum sekarang.

"Adalah tidak bermoral untuk membuat tuduhan liar dan palsu demi kepentingan politik," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dr Mahathir mendakwa bahawa sebelum berlepas, juruterbang mengumumkan bahawa pesawat itu telah rosak dan tidak dapat membuat pembaikan segera.

"Saya sepatutnya tiba di Langkawi sebelum solat Jumaat tetapi kapal terbang rosak. Nasib baik, juruterbang itu dapat mengesan kerosakan itu - jika tidak, saya  mati dalam kemalangan," katanya.

Kerajaan mengarahkan siasatan segera ke atas dakwaan tersebut.

Pesawat, Dr M

Artikel Sebelum

Artikel Lain