PETALING JAYA: Kegilaan terhadap jenama pakaian terkenal dunia, Supreme mampu membuatkan peminat tegar jenama itu berkhemah semalaman di luar butik semata-mata ingin menjadi pelanggan terawal. Ia bukan berlaku setahun sekali, tetapi setiap minggu, kerana koleksi terbaharu jenama ini akan dikeluarkan pada Khamis. Malah, setiap hari pasti ada sahaja pelanggan yang sanggup beratur panjang untuk masuk ke butik Supreme yang terletak di London, United Kingdom. Tetapi, penyanyi rap Malaysia, Caprice yang berada di London selama lima hari selamba sahaja 'memotong barisan' di butik tersebut pada Isnin. Caprice dibenarkan masuk oleh pihak keselamatan di butik tersebut tanpa perlu beratur kerana kebolehannya bertutur dalam bahasa Perancis. "Saya terdengar dia boleh bercakap bahasa Perancis. Saya cuba hampiri dan beritahu yang saya boleh bertutur bahasa tersebut. "Jadi, saya cakap yang saya mahu jadi yang pertama sebab barisan terlalu panjang," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu. Caprice cuba berunding dengan pekerja butik Supreme di London untuk masuk ke butik itu tanpa perlu beratur. Caprice kemudiannya dibenarkan menjadi antara yang terawal masuk ke butik Supreme itu disebabkan kebolehannya itu. Kata pengasas aplikasi Mengaji.com itu, beliau mempelajari bahasa tersebut ketika menetap di Perancis pada 1996 semasa mengikuti bapanya yang bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis. "Sekarang baru saya faham kenapa orang 'gila' sangat pasal Supreme. "Alang-alang dah masuk, saya beli beg bimbit, kemeja T, jaket dan pin," katanya. Ujar Caprice, beliau menguasai tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Perancis. Penyanyi rap itu kemudiannya memuat naik videonya 'memujuk' pekerja butik Supreme itu ke laman Instagram dan menerima reaksi positif daripada netizen. Beg bimbit jenama Supreme yang dibeli oleh Caprice ketika berada di London. Tambah penyanyi lagu 'Korang Tak Boleh Blah' itu, beliau berada di London bagi memenuhi jemputan untuk berkongsi tentang aplikasi yang dibangunkannya seperti mengaji.com dan Umrahloka. "Saya membangunkan aplikasi mengaji.com pada tahun lalu dan tahun ini pula, umrahloka. "Selepas mendapat sokongan daripada Kedutaan Arab Saudi dan memenangi anugerah emas pada Konvensyen Halal Antarabangsa Malaysia, saya dijemput untuk menyampaikan ucapan di London," katanya yang pulang ke Malaysia pada Khamis. Caprice yang menyampaikan ucapan sempena Konvensyen Haji dan Umrah Dunia itu berkata, beliau berpeluang memperkenalkan aplikasi tersebut kepada agensi pelancongan umrah dari Eropah, Afrika dan Timur Tengah. Selepas konvensyen itu, beliau turut dijemput untuk menyampaikan ucapan di India, Sydney, Moscow dan Los Angeles.