suria

Anak seni ke pentas ceramah, itulah Fahmi Fadzil

Gambar: FiveArtsCentre

KUALA LUMPUR: Memiliki susuk tubuh kecil dengan raut wajah tampan bukan penampilan yang kemampuannya wajar dipertikai, kerana realitinya anak muda ini merupakan individu penuh dengan idea dan semangat juang tinggi.

Namun uniknya apa juga yang difikirkan bukan diterjemahkan dalam bentuk tingkah laku semata-mata, sebaliknya segala-galanya akan dipersembahkan sama ada melalui seni lukis, penulisan kreatif seperti sajak atau cerpen atau pementasan teater.

Demikian keperibadian Fahmi Fadzil, nama yang meniti di bibir masyarakat terutama selepas diumum sebagai calon bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai menggantikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Bagi anak kelahiran ibu negara ini, pentas teater umpama satu persembahan seni yang mengungkap keadaan realiti serta garapan kisah yang menggambarkan keadaan sesuatu masyarakat.

"Dalam teater, saya ada ruang sepenuh-penuhnya untuk mengekspresi diri dan perasaan apabila dapat menghasilkan satu-satu teater itu bagaikan pulangan bagi saya.

"Semestinya ia sesuatu yang berbeza jika kita berlakon dan menulis skrip untuk televisyen," ujar calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berusia 37 tahun ini kepada mStar Online.


Dari kiri Faiq Syazwan Kuhiri, Fahmi Fadzil, Anne James dan Imri Nasution menerusi teater Baling.


Bagi peminat filem tempatan, Gol & Gincu, pastinya pernah melihat wajah ini yang mendukung watak sampingan, bersama-sama pelakon hebat lain seperti Fazura, Asyraf Sinclair, Sazzy Falak dan Syarifah Amani.

Ketika ditanya bagaimana boleh terjerumus dalam bidang politik, Fahmi berpendapat, seni dan politik mempunyai banyak persamaan.

Malah, penglibatannya dalam dunia politik didorong minat yang mendalam terhadap seni dan teater.

"Segala-galanya bermula ketika saya pertama kali menyertai perhimpunan pada 1999 di Masjid Negara.

"Ketika itu saya masih muda dan jiwa saya seperti bergolak, jadi saya menulis dan luahkan segala perasaan yang terbuku.

"Dari situ saya sedar, disebabkan politik saya berseni, dan sebab seni juga saya berpolitik," katanya.


Fahmi bersama Nurul Izzah 

Akui Fahmi, dia tidak pernah menyangka untuk terjebak dalam bidang politik memandangkan pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik.

"Masa kecil-kecil dahulu, saya bercita-cita untuk menjadi guru. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk menjadi ahli politik," katanya.

Berbicara lebih lanjut mengenai karya-karya yang dihasilkan, Fahmi menyatakan dia tidak gemar merujuk naskah seperti Shakespeare, sebaliknya lebih memilih sesuatu yang bersifat eksperimental, nusantara dan alam Melayu.

"Saya merupakan individu yang berpandangan kolonial, pasca kolonialis.

"Mengapa kita nak mainkan teater barat walhal di Malaysia terdapat banyak bentuk persembahan yang lahir dan dibangunkan di tanah air seperti wayang kulit, kuda kepang dan Mak Yong," ujarnya yang mula bergiat aktif dalam bidang seni teater sejak di bangku sekolah lagi.

Fahmi Fadzil (tengah) pada hari penamaan calon minggu lalu

Tidak menolak jadual hariannya begitu padat sejak diumum calon Yang Berhormat, Fahmi sedaya upaya mencari waktu terluang untuk bersama isteri dan anak tersayang.

"Saya sedar, saya harus bahagikan masa antara lakonan, keluarga dan tanggungjawab sebagai ahli parlimen.

"Tetapi mujur saya memiliki ibu, ayah dan isteri yang memahami kerjaya saya.

"Di rumah adalah tempat untuk saya menenangkan fikiran. Ketika itulah saya akan meluangkan masa bersama keluarga dan bermain dengan anak," katanya yang juga ayah kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun.

Ketika ramai antara kita yang bercita-cita untuk menjadi jurutera kimia dan berpendapat kerjaya sebegitu mampu menjana pendapatan lumayan, graduan Kejuruteraan Kimia dari Universiti Purdue di Indiana, Amerika Syarikat sebaliknya menyatakan dia tidak pernah menyesal meninggalkan bidang itu.

"Saya tidak menyesal kerana tidak meneruskan kerjaya sebagai jurutera kimia kerana perjuangan saya terhadap anak bangsa lebih penting," kata calon muka baharu PKR ini.

Ditanya perasaannya berdepan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada PRU14, Fahmi berkata, tiada perasaan takut atau gemuruh kerana sudah lama mengenali Raja Nong Chik.

Sebaliknya, beliau lebih gentar memikirkan nasib rakyat yang tidak mendapat pembelaan umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya mengakhiri perbualan dengan mStar Online.

Five Arts Centre, Fahmi Fadzil

Artikel Berikut

Artikel Lain