suria

Debat awam tak boleh, Razali cadang penstriman langsung

Syed Saddiq (kiri) dan Razali.

MUAR: Selepas polis melarang debat yang dinanti-nantikan antara calon Parlimen Muar dianjurkan, Datuk Seri Razali Ibrahim dari Barisan Nasional (BN) mencadangkan supaya perdebatan antara beliau dan calon Pakatan Harapan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilakukan menerusi penstriman video secara langsung.

Razali mencadangkan supaya beliau, Syed Saddiq dan calon PAS, Abdul Aziz Talib mengadakan "pertemuan bersama" di kediaman Pegawai Daerah Muar antara pukul 5 petang hingga 7 malam Isnin (7 Mei) untuk menyampaikan hujahan masing-masing.

"Saya mencadangkan calon melakukan debat dan perbincangan secara harmoni," katanya pada sidang media di pejabat Umno di sini, lewat petang Ahad.

Tambah Razali, debat tersebut boleh dilakukan menerusi penstriman video secara langsung tanpa kehadiran para penyokong masing-masing.

Syed Saddiq yang merupakan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), muncul di Hotel Traders Muar pada pukul 8.30 malam Ahad di lokasi debat itu pada awalnya sepatutnya berlaku, berkata beliau bersedia menerima cabaran Razali.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan cadangan itu, selagi media dibenarkan untuk membuat liputan supaya ia adil," katanya.

Dalam pada itu, polis turut dilihat berada di hotel berkenaan pada Ahad malam bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Terdahulu pada Ahad, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihak polis tidak akan meluluskan cadangan yang dicadangkan kerana faktor keselamatan.

Mohd Khalil berkata, penganjur debat tidak memohon permit seperti yang diperlukan, tetapi hanya memberi notis mengenai majlis pada pukul 10.30 pagi Ahad.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata, debat akan diteruskan seperti yang dirancang.

Kerusi Parlimen Muar pada PRU14 menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Syed Saddiq (PPBM), Razali (BN) dan Abdul Aziz (PAS).

Syed Saddiq, Razali Ibrahim

Artikel Berikut

Itu video lama - SPR

Artikel Lain