suria

Tun M, Siti Hasmah dirai bak pengantin baharu

Tun M dan Siti Hasmah diraikan pada kenduri rakyat di Pulau Tuba.

LANGKAWI: Kedatangan Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Siti Hasmah Mohamad Ali dirai bagaikan pengantin baharu di Pulau Tuba.

Mahathir dalam rangka jelajah menghadiri kenduri rakyat di Pulau Tuba disambut meriah dan disandingkan di pelamin yang dihias indah dengan kehadiran 500 penduduk setempat.

Calon Parlimen Langkawi itu berkata, sekiranya Harapan menang, penduduk Pulau Tuba akan dibantu dari segi penambahbaikan jeti dan padang bola untuk riadah.

“Saya tak janji banyak cuma boleh buat saja, dulu pun tak ada siapa minta pun Langkawi jadi pulau bebas cukai.

“Masa jadi perdana menteri saya rela gugurkan cukai, sekarang Langkawi dah jadi 10 pulau peranginan yang terbaik di dunia, semua ini untuk kesenangan orang di sini,” katanya ketika menghadiri kenduri rakyat di Pulau Tuba.

Mahathir menegaskan kehadirannya ke Pulau Tuba hari ini bukan bertujuan memberi wang kepada penduduk mahupun membaiki rumah yang usang.

“Saya tak datang sini bagi duit kat semua orang, repair rumah robek.

“Undi percuma tidak perlu dibeli, kami (Harapan) cuma nak berkhidmat untuk rakyat,” jelasnya.

Beliau berjanji akan berusaha membantu nasib penduduk pulau itu.

“Bila pelancong datang belanja penduduk Langkawi dapat duit banyak, mereka boleh buat rumah seperti di kawasan lain Alor Setar, Sungai Petani tak boleh la sampai tahap Kuala Lumpur, boleh cuma lambat sikit la.

“Saya tak boleh bagi duit, tapi undilah kami, undilah Firdaus, Cikgu Johari dan saya juga,” serunya.

Rombongan Harapan, media dan penduduk setempat disajikan makanan ala kampung dengan hidangan ikan segar, rumpai laut, gulai kawah dan ulam-ulaman, diiringi lagu klasik tidak ubah ibarat sebuah majlis perkahwinan.

Sebelum ke Pulau Tuba, Mahathir sempat menghadiri kenduri kariah Masjid al-Hanna bersebelahan Kompleks Pekan Rabu, Kuah.

Populasi pengundi Pulau Tuba direkodkan seramai kira-kira 2,000 pengundi. - Sinar Online

Tun M, PRU14

Artikel Sebelum

Malaysia tak bankrap

Artikel Lain