suria

Remaja ditahan bawa 10,000 fius peledak

LAHAD DATU: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB2) menggagalkan cubaan seorang remaja lelaki menyeludup keluar 10,000 fius peledak jenama C Det Alfa dipercayai ke Sibutu, Filipina melalui perairan Tenggara Felda Sahabat, tengah hari Selasa.

Komander ATB2, Brigadier Jeneral Zarondin Md Amin berkata Kapal DiRaja (KD) Baung Tentera Laut DiRaja Malaysia yang sedang membuat rondaan rutin di kawasan bertanggungjawab mengesan bot mencurigakan sebelum dipintas pada  12.15 tengah hari.

"Pemeriksaan awal mendapati seorang lelaki berumur 18 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri berada di atas bot bersama 89 kotak yang didalamnya mengandungi 10,000 fius peledak," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Zarondin berkata suspek dan barang rampasan serta bot diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Lahad Datu untuk tindakan lanjut.-Bernama

Peledak, fius

Artikel Lain