suria

Kertas undi tanpa cop masih dianggap sah

Hashim semasa sidang media di Putrajaya. - foto MOHD SAHAR MISNI/The Star

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan kertas undi yang tidak mempunyai cop rasmi badan bebas itu masih boleh dianggap sah.

Pengerusinya, Tan Sri Hashim Abdullah berkata ketua dan ejen tempat mengundi boleh menggunakan budi bicara mereka untuk membenarkan kertas undi tersebut dikira.

"Kertas undi sepatutnya dicop tetapi mungkin ada contoh di mana mereka tidak sedar kerana terlupa untuk melakukannya.

"Walaupun dalam keadaan seperti itu, ketua dan ejen tempat mengundi boleh menggunakan budi bicara mereka untuk mengira undi jika berpuas hati kertas undi dikeluarkan secara sah dan ia hanya kesilapan petugas SPR di saluran tertentu," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Beliau berkata walaupun jika terdapat kes seperti kertas undi tidak dicop, ia mungkin kes terpencil.

Pengundi membuat aduan bahawa kertas undi mereka tidak mempunyai cop rasmi SPR sekaligus mencetuskan kebimbangan bahawa undi itu dianggap rosak.

"Tolong jangan terpedaya dengan mesej tersebut. Proses itu dipantau oleh ramai pihak berkepentingan. Sesetengah individu cuba mencetuskan panik dan ketidakpercayaan terhadap SPR," katanya.

Mengenai pengundi yang sudah meletakkan kertas undi mereka di dalam kotak yang salah, Hashim berkata semasa proses pengiraan, kertas undi dapat diasingkan dengan sewajarnya di bawah pengawasan ketua tempat mengundi dan ejen parti.

Beliau berkata setakat pukul 1 tengah hari Rabu, jumlah pengundi yang sudah keluar mengundi adalah kira-kira 55%.

SPR, PRU14

Artikel Lain