KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH), gabungan empat parti politik pembangkang yang baru dibentuk, menang besar pada pilihan raya umum Malaysia yang baru berakhir, menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia hampir 93 tahun, berjaya dalam apa yang dilihat sebagai tugas mustahil untuk meraih sokongan besar rakyat bagi memecahkan genggaman kuasa BN yang sebelum peristiwa bersejarah hari ini, merupakan parti politik paling lama memerintah. Dr Mahahir dijangka mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh hari ini. Dr Mahathir ialah Perdana Menteri kempat dan merupakan orang yang sama mengetuai kejayaan BN dalam pilihan raya umum lima tahun berturut-turut dari 1982 hingga 1999. Ketika keputusan muktamad diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Hashim Abdullah pada kira-kira 4.45 pagi, PH yang berusaha dalam apa yang dianggap sebagai ibu segala pilihan raya menggunakan simbol mata biru sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) , memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen dengan majoriti mudah. Ia dijangka mengukuhkan kedudukannya di Parlimen menerusi lapan lagi kerusi yang dimenangi Parti Warisan Sabah yang mengumumkan sebelum ini untuk menyertai PH di peringkat persekutuan. BN yang diketuai Datuk Seri Najib Razak memenangi 79 kerusi, jauh berbanding 132 yang dikuasainya sebelum ini. Tanda-tanda tsunami politik atau kuasa rakyat mula muncul pada kira-kira pukul 10 malam apabila BN kehilangan negeri seperti Melaka dan Negeri Sembilan kepada PH manakala parti Islam PAS mengekalkan Kelantan dengan margin lebih besar dan juga mendapat bonus luar jangkaan dengan memenangi Terengganu. Parti komponen PH iaitu PKR dan DAP turut mengekalkan negeri perindustrian Malaysia iaitu Selangor dan Pulau Pinang dengan lebih menyakinkan. Dua lagi negeri - Perak dan Kedah - menyaksikan pertembungan sengit dan masing-masing berakhir dengan kedudukan Dewan Undangan Negeri tergantung, tetapi bagaimanakah percaturan politik di negeri-negeri itu akan diuruskan, akan menjadi lebih jelas dalam beberapa jam akan datang. Malah Sabah dan Sarawak, yang selama ini dianggap negeri “deposit tetap” BN kerana sentiasa menyumbangkan kerusi Parlimen untuk membolehkan BN terus menguasai Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, runtuh oleh kuasa sejumlah besar pengundi Generasi Y. Sabah yang dipimpin Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman selama 15 tahun lepas dan ketika berita ini ditulis masih terikat dengan kebuntuan di peringkat Dewan Undangan Negeri berikutan BN memenangi 29 kerusi, Warisan 21, DAP dan PKR (kedua-duanya dalam PH) masing-masing dengan enam dan dua kerusi manakala dua lagi kerusi dimenangi Parti Solidariti Tanahairku. Pegawai-pegawai parti berkenaan berkata perbincangan akan diadakan hari ini juga untuk memecahkan kebuntuan berhubung parti mana yang akan berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu. Parti pembangkang mencatat prestasi lebih baik dalam perebutan bagi kerusi Parlimen dengan Warisan menang lapan kerusi, masing-masing tiga bagi DAP dan PKR dan satu kerusi bagi Solidariti. Jelas sekali bahawa kekalahan BN yang gah selama ini turut dibantu oleh pengaruh besar media sosial yang dimanfaatkan pembangkang dengan memainkan isu peningkatan kos sara hidup yang memberikan impak terhadap keupayaan berbelanja setiap orang selepas Najib memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar 6 peratus pada 2014. Populariti BN kian merudum dalam tempoh beberapa tahun lepas berikutan kegagalan 1MDB yang menghantui Najib ditambah dengan masalah kewangan dalam Felda yang menjejaskan pekebun kecil kelapa sawit dan terbaru undang-undang kontroversi seperti Akta Antiberita Tidak Benar yang secara tergesa-gesa diluluskan di Parlimen sejurus sebelum pembubaran pada 7 April. Bakal Perdana Menteri Dr Mahathir telah mengikrarkan sebagai aku janji dalam manifesto pilihan raya PH untuk memansuhkan GST sekiranya parti itu berkuasa dan nasib sama menanti undang-undang Antiberita Tidak Benar. Dalam masa yang singkat juga, hanya beberapa hari sebelum rakyat Malaysia mengundi untuk memilih kerajaan mereka bagi lima tahun akan datang, Umno, parti tunjang BN, memecat anggota veteran terkemuka parti, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz kerana berkempen menyokong Dr Mahathir dan PH. Dua lagi veteran, Tan Sri Rais Yatim dan Tan Sri Syed Hamid Albar turut menyertai gesaan yang semakin memuncak agar perubahan dilakukan di dalam parti, yang semakin mengikis asas sokongannya terutama di kalangan anggota parti yang merasakan bahawa perlu ada ruang bagi mereka yang berbeza pendapat untuk mengeluarkan UMNO daripada zon selesanya. Sebanyak enam menteri Kabinet BN dan dua menteri besar dikalahkan dalam pilihan raya ini dan, suatu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Mereka yang kecundang ialah Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan dan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Ghani, Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Kejayaan di luar jangkaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara pada dini hari ketika berjuta-juta rakyat Malaysia bersengkang mata terpaku di hadapan televisyen atau telefon pintar mereka untuk mengikuti keputusan pilihan raya itu, bagaikan suatu keajaiban. Rakyat Malaysia secara amnya kagum dengan stamina fizikal Dr Mahathir yang gigih berulang-alik ke seluruh negara dalam siri kempennya meskipun usianya sudah begitu lanjut, memberi mesej jelas berhubung tugasnya murninya untuk memperbetulkan kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu. Hampir 15 tahun yang lalu, Dr Mahathir berundur sebagai perdana menteri selepas lebih dua dekad mengemudikan negara, dan kerajaan yang bakal dibentuk selepas beliau mengangkat sumpah jawatan pastinya mempunyai banyak tugas yang perlu dilaksanakan untuk membawa Malaysia melangkah ke era baharu. Apa yang pasti, rakyat Malaysia yang sudah biasa menyaksikan penguasaan kaum lelaki dalam barisan Kabinet dan wajah yang sama hampir setiap kali, kini akan dapat melihat barisan Kabinet serba baharu, dan paling penting, seorang timbalan perdana menteri wanita pertama. Manifesto pilihan raya PH menyatakan bahawa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan dilantik sebagai timbalan kepada Dr Mahathir sekiranya gabungan pembangkang itu mengambil alih pemerintahan negara. Rafidah Aziz, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang juga dikenali sebagai ‘Iron Lady Malaysia', mungkin menyimpulkan dengan tepat sentimen rakyat Malaysia yang memulakan hari ini dengan membawa harapan baharu. Menurut beliau: "Babak baharu dalam sejarah kami telah mula dilakar. Tepat 4.15 pagi pada hari bersejarah ini, 10 Mei 2018. "Saya terlalu teruja untuk melelapkan mata. Tidak pernah saya bayangkan untuk turut sama menyaksikan hari ini. Hari di mana rakyat menunjukkan kebijaksanaan mereka dalam memilih kerajaan baharu bagi tempoh lima tahun yang akan datang, dan menolak dengan begitu keras rasuah, tadbir urus yang buruk dan penyalahgunaan kuasa ". Beliau berkata tumpuan perlu diarahkan untuk meletakkan semula negara di landasan yang betul dan mengembalikan semula Malaysia ke puncak kegemilangannya, termasuk membina semula imej serta maruahnya yang tercalar. -- Bernama