PETALING JAYA: Barisan pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) menjadi pilihan pengundi apabila memenangi kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Antara yang mendahului senarai adalah Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menduduki kerusi Parlimen Langkawi, timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pandan) dan timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali (Gombak) serta Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh). Dr Mahathir menang majoriti sebanyak 18,954 undi, Muhyiddin memperoleh 23,558 undi, Wan Azizah dan anaknya masing-masing meraih 64,733 undi dan 35,534 undi. Wan Azizah menang majoriti di Parlimen Pandan. - Bernama Turut mengikut jejak menguasai kerusi yang ditandingi adalah Presiden Amanah, Mohamad Sabu (Kota Raja) dengan 90,697 undi dan Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) memperoleh 20,908 undi. Tidak ketinggalan adalah calon anak beranak yang juga penasihat DAP, Lim Kit Siang (Iskandar Puteri) meraih sebanyak 80,726 undi dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Bagan memperoleh 51,653 undi. Selain itu, Datuk Seri Shafie Apdal yang kini memimpin Parti Warisan Sabah juga diangkat untuk kekal di kerusi Parlimen Semporna dan mencatatkan undi sebanyak 26,809.