PUTRAJAYA: Keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi yang terakhir diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi Khamis. Sabah yang merangkumi 60 kerusi DUN menyaksikan Barisan Nasional memenangi 29 kerusi, diikuti Parti Warisan Sabah (21), DAP (6), PKR (2) dan Solidariti Tanah Airku (2). Keputusan ini besar kemungkinan meletakkan Sabah dalam situasi sidang tergantung sama seperti Kedah dan Perak. Ditanya mengenai ketiga-tiga negeri terlibat, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, parti politik terbabit akan menentukan pihak yang akan mentadbir negeri berkenaan. "Terpulang kepada mereka untuk berbincang sesama sendiri. SPR hanya bertanggungjawab untuk mengumumkan keputusan," katanya.