suria

Tun M angkat sumpah perdana menteri ke-7

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menerima dokumen Surat Cara Pelantikan sebagai Perdana Menteri dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara malam Khamis. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mencipta sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kali kedua hari ini susulan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang memakai baju Melayu hitam dan bersamping songket hitam keemasan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh di hadapan Yang di-Pertuan Agong ,Sultan Muhammad V, di Istana Negara di sini.

Dr Mahathir, pertama kali dilantik menjadi perdana menteri keempat pada 1981 sewaktu berumur 56 tahun sebelum meletakkan jawatan pada 2003, setelah menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.

Berumur 92 tahun, Dr Mahathir mencipta sejarah lagi menjadi perdana menteri tertua di dunia dengan kembali ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun meletakkan jawatan pada 2003.

Upacara istiadat pada kira-kira 10 malam itu disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif.

Isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali duduk di sebelahnya di majlis itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu merupakan pemimpin utama Pakatan Harapan yang hadir.

Seri Paduka kelihatan bersalaman dengan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah sebaik sahaja memasuki ke majlis itu di Singgahsana Kecil sebelum mengambil tempat baginda bersemayam.

Setelah membaca ikrar angkat sumpah jawatan di hadapan baginda, Dr Mahathir menandatangani dokumen tersebut.

Di luar istana, ia bagaikan pesta apabila kalangan rakyat dari pelbagai kaum dan peringkat umur berkumpul sejak petang lagi bagi meraikan pelantikan Dr Mahathir yang dilihat dapat membawa harapan baharu kepada rakyat dan negara.

Rakyat bertepuk tangan sebaik sahaja selesai majlis itu yang disiarkan secara langsung.

Mereka kelihatan begitu gembira menyambut pembentukan kerajaan pusat yang baharu dengan mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera parti.

Mereka turut menyanyikan lagu kebangsaan dan patriotik beramai-ramai serta melaungkan slogan ‘Hidup Tun', ‘Hidup Rakyat' dan ‘Reformasi'.

Keadaan itu juga turut menarik perhatian pelancong asing.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semalam, Pakatan Harapan memenangi 135 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.
-Bernama

 

Artikel Lain