suria

PRU14 mesej rakyat untuk Umno, BN muhasabah - KJ

Khairy Jamaluddin

SEREMBAN: Kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan pusat adalah mesej jelas daripada rakyat bahawa parti itu perlu bermuhasabah.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam kenyataan di sini, pada Khamis berkata sebagai pemimpin Umno dan BN, beliau telah mencuba sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

"Hari ini adalah permulaan baru untuk Malaysia. Suara keramat rakyat telah memilih perubahan yang cukup jelas dan nyata. Peralihan kuasa perlu berlangsung dengan lancar tanpa sebarang percubaan untuk menafikan suara rakyat.

"Sebagai pemimpin Umno dan BN, saya telah cuba sedaya upaya saya untuk memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia. Parti ini dan ahlinya telah memberi jasa kepada rakyat dan negara selama lebih 60 tahun ini - yang cacat dan cela datang dari kami pemimpinnya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih atas mandat yang diberikan kepadanya oleh masyarakat di kerusi Parlimen Rembau dan berjanji akan bekerja keras membangunkan kawasan yang diwakilinya.

"Maaf dan terima kasih, Malaysia. Bersama kita ketepikan perbezaan kita untuk Malaysia yang lebih baik bermula hari ini. Malaysia yang berdaya saing, moden dan adil, dengan rakyat sebagai denyut nadinya," katanya.

Pada PRU14, Khairy yang juga penyandang Parlimen Rembau selama tiga penggal sejak 2008 menang dengan majoriti 4,364 undi menewaskan calon PKR Lt. Kol (B) Roseli Abdul Ghani dan Mustafa Dolah daripada PAS.
-Bernama

PRU14, Khairy Jamlauddin

Artikel Sebelum

Artikel Lain