KUALA LUMPUR: Hospital Rehabilitasi Cheras yang menempatkan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perhatian petugas media dan penyokong Pakatan Harapan (PH). Ia berikutan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Anwar telah mendapat Pengampunan Diraja dan akan dibebaskan segera. Petugas media tempatan dan antarabangsa mula berkumpul di sini seawal jam 12 tengah hari. Bagaimanapun Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa berkata terdapat salah faham yang mengatakan Anwar akan dibebaskan hari ini (Jumaat). Katanya, pembebahasan Anwar perlu dilaksanakan mengikut kaedah yang sepatutnya mengikut undang-undang termasuk proses dokumentasi. "Proses itu akan mengambil masa yang sepatutnya, tidak dalam masa dua atau tiga hari. "Saya menjangkakan... namun ia mungkin tidak begitu sahih... ia memerlukan beberapa minggu," katanya yang juga peguam kepada Anwar. Sementara itu anak perempuan Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar ketika ditemui mengakui beberapa dokumentasi perlu diselesaikan. "Insyaallah. Akan dibebaskan hari ini." Berdasarkan laman Twitter Anwar, turut disertakan gambar Nurul Izzah bersama bapanya di hospital berkenaan. Gambar itu juga mencatat kapsyen ringkas - "Menuju kebebasan". Selain itu, satu poster gambar bekas timbalan perdana menteri berkenaan juga dimuat naik dengan kapsyen - Hari ini. InsyaAllah #AnwarBebas #Kitamenang