KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pelantikan tiga menteri kanan Kabinet semalam dibuat tanpa mengetepikan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH). Perdana Menteri berkata selain keputusan dibuat melalui Majlis Kepimpinan Tertinggi PH yang membincangkan dasar-dasar Pakatan Harapan (PH), ia juga dilakukan melalui Jawatankuasa Lima Pemimpin Tertinggi yang dianggotai empat presiden parti komponen PH serta dipengerusikan beliau sendiri. Beliau berkata ini kerana Majlis Kepimpinan Tertinggi sukar untuk membuat perjumpaan dengan kerap atau segera dalam memutuskan sesuatu perkara. “Inilah cara yang kita lakukan apabila menubuhkan satu badan ataupun dalam saya menamakan menteri-menteri asas. “Semua lima orang tahu apa yang diputuskan dan menjadi tanggungjawab mereka jika mereka perlu laporkan kepada ahli (parti) masing-masing, jika tidak, kita akan sahkan keputusan-keputusan ini dalam Majlis Presiden. Majlis Presiden dianggap sebagai Majlis yang tertinggi,” katanya dalam sesi penerangan khas kepada RTM dan Bernama di kediaman beliau di sini, hari ini. Semalam Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa pelantikan pemimpin tertinggi parti PPBM, Amanah dan DAP sebagai menteri kanan kabinet dibuat tanpa rundingan dengan PKR. Dr Mahathir semalam menamakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan. Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata untuk membolehkan keputusan dibuat, pihaknya berpegang kepada prinsip 'majoriti yang memerintah' kerana tidak selalunya akan beroleh konsensus. “Jadi dengan ada majoriti yang memerintah, maka kita dapat buat keputusan dengan lebih kemas dan lebih cekap dan lebih cepat. Itulah susunan Pakatan Harapan sehingga kini,” katanya. Katanya, kerajaan sekarang memerlukan sebuah kabinet dibentuk secepat mungkin. “Untuk menubuh kabinet penuh akan mengambil masa kerana masing-masing parti perlu merujuk kepada parti masing-masing untuk memberi nama dan supaya ditentukan jawatan yang akan dipegang,” tambahnya. - BERNAMA