PETALING JAYA: "Muafakat itu berkat," kata Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Kenyataan ringkas itu dimuat naik menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, kelab bola sepak miliknya. Kata-kata itu menarik minat netizen yang menganggap ia seolah-olah dikaitkan dengan tindakan Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Osman Sapian berkenaan penukaran moto Muafakat Johor kepada Harapan Johor. Dalam status itu juga, Tunku Ismail menegaskan slogan tersebut digunakan sejak sekian lama iaitu sejak tertubuhnya negeri Johor pada 1885. Setakat pukul 9.30 malam ini, status itu mendapat kira-kira 7,600 tanda likes dan 1,300 komen netizen. Pada Sabtu, Osman berkata moto 'Muafakat Johor' yang digunakan kerajaan negeri sebelum ini akan ditukar bagi mengikut acuan dan cara kepimpinan Pakatan Harapan. "Muafakat Johor akan ditukar kepada Harapan Johor dan 'Team Johor' juga tidak diguna pakai sebaliknya pentadbiran baharu ini dikenali Pakatan Harapan Johor," katanya pada sidang media, Sabtu. Bagaimanapun, Osman berkata, kepimpinannya masih menghormati istilah Bangsa Johor yang wujud sejak dulu lagi. "Apa salahnya dengan istilah Bangsa Johor. Semua yang lahir di Johor, kita adalah Bangsa Johor. Lagu negeri ini juga bertajuk Lagu Bangsa Johor," katanya.