KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan beliau menemui Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam. Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, tuduhan itu tidak berasas kerana ketika itu beliau berada dirumah dan tidak ke mana-mana. "Waktu seperti didakwa itu, saya sedang bersolat hajat di rumah, ertinya orang yang mendakwa saya itu mesti berada di kiri dan kanan saya sehingga mengetahui bahawa saya berada di sesuatu tempat," katanya dalam sidang media di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini. Semalam, tular laporan mendakwa Zahid menemui bekas mentornya, Anwar di Pusat Rehabilitasi Cheras, petang semalam. Dakwaan itu disertakan dengan kenyataan yang kononnya pertemuan itu bagi membincangkan penyertaan Zahid ke dalam Pakatan Harapan. Sementara itu, Zahid berkata, Majlis Tertinggi Umno memberi mandat kepadanya jika berlaku sebarang perundingan bagi pihak BN-Umno dan rundingan itu harus dibuat secara end bloc. "Kita akan menggunakan segala kekuatan Umno dan BN dalam mengadakan rundingan dengan siapa sahaja termasuk sebagai pembangkang," katanya. - Sinar Online