suria

Agong berkenan bebas Anwar menjelang Ramadan

Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Yang di- Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan dengan proses prosiding Lembaga Pengampunan Diraja terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, baginda juga berpuas hati dengan semua prosedur berkaitan prosiding yang ditetapkan pada pukul 11 pagi Selasa.

"Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri telah memohon supaya mesyuarat tersebut ditangguhkan kepada 16 Mei (Rabu) pukul 11 pagi.

"Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya perkara ini dimuktamadkan pada 16 Mei menjelang Ramadan," katanya dalam satu kenyataan.

Beberapa pimpinan PKR sebelum ini memaklumkan bahawa Anwar akan dibebaskan pada Selasa.

Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Ketua Umum PKR itu yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, sepatutnya dibebaskan pada 8 Jun ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu berkata, Sultan Muhammad V menyatakan kesediaan untuk memberi pengampunan segera kepada Anwar.

“Ia adalah pengampunan penuh, yang juga bermaksud beliau bukan sahaja diberikan pengampunan tetapi juga dibebaskan dengan segera apabila mendapat pengampunan,” kata Dr Mahathir.

Artikel Berikut

Artikel Lain