KUALA LUMPUR: Proses pembebasan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilakukan di Hospital Rehabilitasi Cheras di sini tanpa perlu dibawa ke Penjara Sungai Buloh. Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata, Anwar dijangka dibebaskan selepas syor pembebasan dan pengampunan penuh oleh mesyuarat Lembaga Pengampunan Diraja yang bersidang 11 pagi Rabu. "Jadi, jangkaan kita (pembebasan) sekitar tengah hari esok sebelum perhimpunan pada sebelah petang di Petaling Jaya," katanya kepada pemberita selepas melawat Anwar di hospital itu, Selasa, Pada Isnin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam satu kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan agar semua prosedur berkaitan prosiding Lembaga Pengampunan Diraja untuk Anwar dimuktamadkan esok (Rabu). Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya.Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, sebelum ini dijadual dibebaskan pada 8 Jun.- Bernama