suria

‘Rembat’ bendera parti dibuat gaun! Anda sanggup pakai atau tidak?

Gaun 'Pakatan Harapan' merupakan manifesto Zulwafie di atas kemenangan gabungan itu mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Foto Facebook Stokin Wafiey

PETALING JAYA: Sejarah tercipta apabila Pakatan Harapan (PH) yang dahulunya pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas menang dengan majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tumpuan ketika ini sudah tentu manifesto kerajaan baharu itu, namun pada masa sama seorang anak muda tidak terkecuali turut melaksanakan manifesto ‘ciptaan’ sendiri sempena kemenangan PH.

Megah menyarungkan gaun kembang dan turban berinspirasikan bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) simbol yang digunakan PH untuk bertanding pada PRU14, pemuda ini memperagakannya di tengah jalan dengan penuh yakin.

Gaun kembang dan turban 'Pakatan Harapan' tular di media sosial.

“Seperti yang dijanjikan manifesto saya kepada parti yang memerintah iaitu Pakatan Harapan yang dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad yang tercinta (Perdana Menteri ketujuh).

“Demi Tun M sesubuh hari kami bangun merembat bendera Pakatan Harapan takut orang nampak. Saya confident (yakin) catwalk satu taman,” katanya di halaman Facebooknya yang menjadi tular.

Menariknya, pada hari mengundi 9 Mei lalu, dia turut memperagakan satu lagi busana ciptaannya berinspirasikan bendera Barisan Nasional (BN), PKR dan PAS.

Busana gaun malam yang tular itu adalah cetusan idea graduan Diploma Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhamad Zulwafi Ahmad Rosli.

Pemuda berusia 24 tahun itu berkata, pada awalnya mahu menghasilkan rekaan berinspirasikan selebriti antarabangsa semasa acara karpet merah majlis kutipan dana amal Met Gala di New York, baru-baru ini.

“Tetapi busana tersebut dilihat lebih seksi kerana kainnya begitu terdedah sehingga menampakkan kaki. Jadi, saya menggunakan konsep ‘princess’ dengan  gaun kembangnya kelihatan seperti seorang puteri di acara Met Gala.

“Gaun malam itu mengikut bentuk rekaan berinspirasikan pereka fesyen terkemuka, mendiang Oscar de la Renta dan gaya turban seperti yang dipakai oleh selebriti tempatan, Neelofa yang menjadi tular baru-baru ini. 

"Jadi, rekaan gaun malam ‘Pakatan Harapan’ ini adalah gabungan inspirasi terkenal dan trend semasa,” katanya kepada mStar Online.

Zulwafi berkata, busana dan turban dihasilkan selama hampir dua jam dengan bantuan dua pereka fesyen, Farrahiya Abd Rahim dan Mohd Farhairuddin Anuar, menggunakan hampir 20 bendera PKR.

Anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu memberitahu, mereka mula ‘mengumpul’ bendera PKR di kawasan perumahan Taman Scientex di Pasir Gudang, Johor sebaik sahaja pengumuman keputusan PRU14 berpihak kepada PH.

“Kami keluar seawal pukul 5 pagi pada 10 Mei (Khamis) untuk ambil bendera-bendera ni takut orang nampak. Tapi kami mula menjahit sendiri untuk dijadikan gaun malam bermula pukul 5 petang hari yang sama, sebelum saya buat ‘catwalk’ di jalan depan rumah selepas siap,” katanya.

Zulwafi turut menghasilkan busana berinspirasikan bendera BN, PKR dan PAS.

Mengenai bendera-bendera PKR yang dicuri untuk digunakan sebagai busana itu, Zulwafi dan dua rakannya memohon maaf di atas tindakan tersebut.

“Kami mohon maaf sebab ambil bendera-bendera ni. Tapi kami tak bakar atau buang bendera tu, sebaliknya kami gunakan bakat yang ada dan curahkannya untuk menghasilkan busana tanda kebanggaan di atas kemenangan Pakatan Harapan yang diterajui oleh Dr Mahathir.

“Malahan, kami amat berbesar hati sekiranya busana ‘Pakatan Harapan’ ini dapat ditunjukkan kepada Perdana Menteri dan dipamerkan dalam mana-mana majlis yang dianjurkan Pakatan Harapan,” ujar Zulwafi.

Artikel Sebelum

Pemimpin DAP jumpa PM

Artikel Berikut

Artikel Lain