KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin mengesahkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada pukul 12 tengah hari ini. Menteri Besar Selangor itu berkata, Anwar akan turut diiringi beliau dan Presiden Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Anwar dipenjarakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2015 menolak rayuannya terhadap sabitan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya serta hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Tinggi. Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, sebelum ini dijadual dibebaskan pada 8 Jun. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Jumaat lalu berkata Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sudah menyatakan kesediaan baginda untuk memberi pengampunan segera kepada Anwar. - Sinar Online