suria

Jadi menteri ‘dapur’ cukuplah! - Anwar

Anwar Ibrahim. Foto Reuters

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir segelintir wakil rakyat yang hanya mengejar jawatan dalam Kabinet semata-mata.

Ketua Umum PKR itu menasihatkan setiap Ahli Parlimen yang dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seharusnya mengutamakan tanggungjawab mereka selepas diberi mandat oleh rakyat, daripada hanya mahu melobi jawatan menteri.

“Ini saya nak sindir kawan-kawan ahli parlimen yang ramai... asyik nak jadi menteri saja. Tengok cerminlah dulu!

“Dah menang, alhamdulillah. Rakyat bagi sokongan alhamdulillah. Dipilih jadi menteri, jalanlah kerja. 

“Dok sibuk (kata) nak jadi menteri, nak jadi menteri. Menteri ‘dapur’ cukuplah!,” kata Anwar semasa berucap pada Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur di sini, Rabu malam.

Terdahulu pada sidang media di kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur selepas pembebasannya, Anwar berkata, beliau belum bersedia untuk menyertai barisan Kabinet buat masa ini kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga, selain menjelajah ke luar negara untuk menyampaikan ucapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar mahu masa bersama keluarga, bukan Kabinet

Sehubungan itu, Anwar menasihatkan wakil rakyat mengambil sikap peduli dan memahami keadaan rakyat dengan memberi perubahan yang lebih baik kepada mereka. 

Malahan, Anwar memuji bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang masih menumpukan tugas dan tanggungjawab meskipun tidak bertanding pada PRU14.

“Rafizi tak boleh bertanding. Nasib baik kita (Pakatan Harapan) menang. Kalau tak menang, masuk penjara.

“Tapi kerja (Rafizi) bertungkus-lumus macam orang nak bertanding. Lebih kerja kuat daripada orang yang bertanding,” katanya.

Pada Mac lalu, Rafizi memaklumkan tidak akan bertanding pada PRU14. Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kemudian bertanding di kerusi Parlimen Pandan dan memenanginya pada PRU14.

Naib Presiden PKR itu berkata, perlembagaan sudah jelas menyatakan kelayakan untuk bertanding sebagai calon wakil rakyat akan hilang sekiranya individu itu disabitkan kesalahan denda melebihi RM2,000 atau penjara setahun.

Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Februari lalu menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Rafizi dan seorang bekas kerani bank, Johari Mohamad, kerana didapati bersalah membocorkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat pada Mac 2012.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan selepas membenarkan permohonan peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Rafizi dan peguam Latheefa Koya yang mewakili Johari.

Anwar Ibrahim

Artikel Lain