suria

Rogol teman wanita bawah umur, kelindan lori dipenjara lima tahun

PETALING JAYA: Seorang kelindan lori dihukum penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan merogol teman wanitanya yang berusia 14 tahun sehingga mangsa melahirkan anak lelaki.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Shahrul Imam Abdul Rahman, 21, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah merogol pelajar tingkatan dua itu dan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara  bermula dari tarikh tangkap pada 17 Okt 2016.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Desa Mentari, di sini, pada 5 petang, 3 Mac 2016 mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Ashy'ari Kamaruzaman memohon hukuman berat terhadap tertuduh mengambil kira kekerapan kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur.

"Kejadian yang berlaku ini telah memberikan kesan terhadap anak tertuduh kerana dalam Islam status anak tersebut tidak diiktiraf," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung  ibu bapanya selain perlu menjaga bayi yang dilahirkan oleh teman wanitanya.

"Saya mohon diberikan peluang kedua kerana saya ingin bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan,” katanya. - Bernama

rogol

Artikel Berikut

Artikel Lain