suria

“Itu tindakan orang dungu” - Da'i Wan tegur parodi melampau Faiz Roslan

Paparan skrin video parodi lagu Lagi Syantik yang mengundang kontroversi. (Gambar kecil) Da'i Wan menegur Faiz Roslan dan rakan-rakannya yang terbabit dalam video tersebut.

PETALING JAYA: Personaliti media sosial, Faiz Roslan kembali mencetuskan kontroversi menerusi video parodi terbaharu yang menunjukkan dirinya beraksi umpama perempuan.

Dengan tarian yang keterlaluan dan berimej seksi, Faiz bersama dua lagi rakannya melakukan gerak bibir (miming) untuk lagu Lagi Syantik, nyanyian Siti Badriah.

Lebih mengejutkan, video berkenaan dimuat naik di laman sosial Instagram milik Faiz pada 1 Ramadan, hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa.

Faiz Roslan. Foto Instagram thefaizroslan

Video tersebut menerima kecaman netizen, malah turut ditegur pendakwah muda, Da’i Wan menganggap Faiz tidak mahu mendengar nasihat berhubung tindakannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Parodi Lelaki Jadi Perempuan Dilaknat - Wan Dazrin

Pemilik nama Wan Dazrin Wan Din yang pernah menegur Faiz sebelum ini meluahkan kekecewaannya kerana tergamak personaliti media sosial itu mencemari hari yang suci pada bulan mulia ini dengan menayang video berkenaan.  

“Kamu dan kawan-kawan sama sahaja, tak mahu dengar nasihat, sengaja cari pasal. Sekarang kamu boleh bergembira @thefaizroslan dengan parodi yang kamu buat, kamu tak dengar nasihat orang, kamu buat ikut rasa hati, ikut suka kepala kamu sendiri. 

“Sekarang kamu tak nampak kemurkaan Allah lagi, tapi kamu akan nampak kemurkaan manusia pada kamu selepas ini. Tunggu sahajalah,” katanya menerusi status yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, lewat Khamis malam.

Teguran Da'i Wan di laman sosial Instagram miliknya.

Bekas peserta Da'i Pendakwah Milenia musim ke 2 ini pernah meluahkan kebimbangan dengan aksi dan gaya remaja lelaki yang berlagak seperti wanita dalam video yang tular di laman sosial itu.

Da’i Wan berkata, Faiz tidak seharusnya meraih perhatian dengan membuat video-video seumpama itu kerana banyak lagi cara yang tidak menghina diri.

“Mengapa kamu sia-siakan waktu kamu dengan kerja seperti ini. Hiburan di dunia ni sekejap sahaja Faiz. Jangan jadikan yang sekejap itu ‘fast track’ (laluan singkat) ke neraka, itu tindakan orang yang dungu, Faiz. 

Da'i Wan.

“Satu lagi, neraka jangan sesekali dibuat main, kamu tak kan mampu terbayangkan betapa azab atau pedihnya nanti. Terlupakah kamu, yang kamu tak lama hidup di dunia, malaikat kiri kanan mencatat semua amalan kamu, buku amalan akan dihisab. Diserah pada tangan kiri habislah semua rasa seronok yang pernah kamu rasa di dunia,” katanya.

Sehubungan itu, Da’i Wan menasihatkan Faiz supaya memadamkan video parodi tersebut sekiranya tidak mahu terus ditegurnya secara terbuka.

Susulan kontroversi video dan kecaman netizen, Faiz kemudian memuat naik status di Insta Story di akaun Instagramnya memberitahu dia telah meluahkan sesuatu kepada seseorang yang digelarnya ‘ustaz’ tanpa merujuk individu tersebut adalah Da’i Wan.


Faiz Roslan, Da'i Wan

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan