AHLI perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low mungkin berada di Taiwan, lapor Nanyang Siang Pau. Sejak skandal 1MDB didedahkan, lokasi Jho Low tidak diketahui tetapi sumber memberitahu dia mungkin sedang bersembunyi di Taiwan. Akhbar harian bahasa Cina itu melaporkan, agak sukar untuk mengekstradisi Jho Low yang dikaitkan dengan kontroversi 1MDB. Lapor akhbar itu lagi, kerajaan telah meminta bantuan Interpol untuk mengesan Jho Low. Pada Isnin lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan kerajaan mengetahui lokasi 'persembunyian' Jho Low ketika ini. "Kita secara kasarnya tahu di mana dia berada," kata Dr Mahathir pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana. Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya sama ada permohonan proses ekstradisi terhadap Jho Low secara rasmi telah dilakukan setakat ini. Ditanya tentang cara yang akan digunakan untuk membawa pulang Jho Low Dr Mahathir berkata: "Serahkan kepada kami...saya tidak pergi tangkap orang, kita ada agensi yang akan berbuat demikian," katanya.