suria

Dr Wan Azizah dahului 13 anggota Kabinet angkat sumpah jawatan

PETALING JAYA: Tiga belas menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Isnin petang.

Upacara yang diadakan di singgahsana kecil itu bermula kira-kira pukul 5.50 petang Isnin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan mengetuai barisan menteri dalam upacara tersebut.

Beliau melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia dan kemudian menandatangani dokumen rasmi pelantikan.

Upacara itu turut disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Selepas Dr Wan Azizah, acara penyerahan surat cara pelantikan dan melafaz sumpah jawatan dan taat setia bagi menteri dijalankan secara berkumpulan.

Ia dimulakan dengan tiga menteri kanan iaitu Tan Sri Muhyiddin bin Yassin (Menteri Dalam Negeri), Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) dan Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan) mengangkat sumpah jawatan dan menyimpan rahsia yang dipimpin Muhyiddin.

Seterusnya, turut mengangkat sumpah ialah Dr Maszlee Malik (Menteri Pendidikan), Rina Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi).

Kemudian diikuti Datuk Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Anthony Loke Siew Fook (Menteri Pengangkutan) dan Gobind Singh Deo (Menteri Komunikasi dan Multimedia).

Kumpulan seterusnya terdiri daripada Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani), Kulasegaran V.Murugeson (Menteri Tenaga Manusia) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).

Pada 10 Mei lalu, iaitu sehari selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, Dr Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Beliau mengumumkan barisan Kabinetnya dengan 13 menteri selepas mendapat perkenan Sultan Muhammad V pada Jumaat lalu.

angkat sumpah, Menteri Kabinet

Artikel Lain