SHAH ALAM: Jumlah hutang negara kini dianggarkan mencecah lebih RM1 trilion sekali gus memberi cabaran besar buat negara. Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi & Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr Mohamed Mustafa Mohd Hanefah berkata, walaupun 90 peratus daripada hutang tersebut adalah melibatkan institusi dalam negara, namun ia akan memberi impak yang besar jika kerajaan gagal melangsaikannya. “Sebelum ini kita mungkin tidak tahu jumlah hutang negara yang sebenar dan RM1 trilion itu memang cukup besar sekali gus beri banyak cabaran untuk kita selesaikannya. “Kebanyakan hutang negara melibatkan institusi kewangan dalam negara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan selebihnya hutang luar negara melalui projek-projek mega. Sepatutnya situasi masih stabil tapi bila ia melibatkan jumlah yang begitu banyak, keadaan sebaliknya berlaku,” katanya. Hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan hutang negara kini sudah mencecah angka lebih RM1 trilion berbanding hanya RM300 bilion sebelum ini. Beliau berkata demikian dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. Mengulas lanjut mengenai jumlah hutang yang lebih rendah yang pernah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini, Mohamed Mustafa berkata, kemungkinan ketika itu terdapat beberapa aspek yang tidak didedahkan. “Sebelum ini kita dengar jumlah hutang negara hanya RM800 juta tapi sekarang diumumkan jumlahnya lebih tinggi. Ini maknanya mungkin ada beberapa aspek yang tidak diumumkan. “Seperti yang baru ini kita dengar, kos Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bukan bernilai RM55 bilion tapi lebih daripada itu,” katanya. Bagaimanapun, beliau berkata, harga minyak dunia terkini yang mencecah AS$80 satu tong telah memberi hikmah kepada negara. “Ketika negara diumumkan memiliki hutang yang tinggi, kenaikan harga minyak ini telah menjadi satu hikmah kepada Malaysia di mana ia menyumbang dari segi pendapatan negara. “Selain itu, apa yang penting adalah disiplin kewangan kerajaan kerana jika kewangan diuruskan tanpa disiplin yang baik, maka banyak perkara bakal timbul termasuklah pertambahan hutang,” katanya. Justeru, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan membuat satu pembentangan bajet pertengahan tahun di sesi Parlimen akan datang. “Ia satu perkara yang biasa berlaku kepada kerajaan baharu. Ia bagi mengetahui bagaimana kita menghadapi hutang atau pendapatan yang mungkin berkurangan atau sebagainya,” katanya. - Sinar Online