suria

Pos Malaysia tampil kad ucapan raya hologram 3D

KUALA LUMPUR: Pos  Malaysia  Berhad (Pos Malaysia) mengumumkan inovasi terbaru mereka dalam menggabungkan teknologi dan tradisi dengan memperkenalkan kad ucapan Raya Hologram 3D bersempena  Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Mel Pos Malaysia Helmi Hashim berkata berikutan kejayaan poskad animasi pada Aidilfitri tahun lalu yang menampilkan teknologi Augmented Reality (AR), Pos Malaysia kali ini mengambil peluang menggunakan teknologi yang berkembang kini untuk menghasilkan Kad Ucapan Raya Hologram 3D.

“Tahun lepas kita mula buat satu perubahan baharu iaitu kita menonjolkan teknologi AR, dan kita dapati sambutan yang diterima Pos Malaysia sangat menggalakkan dan mengalami peningkatan  jualan sebanyak 1.1 juta  berbanding tahun sebelumnya, jadi pada tahun ini kita tingkatkan sedikit inovasi tersebut seiring dengan evolusi teknologi.

“Generasi Y terutamanya mencari sesuatu yang berbeza daripada penggunaan mesej pesanan ringkas (SMS) atau laman sosial seperti WhatsApp atau Wechat, oleh itu, kita tampilkan kelainan dengan menggabungkan media digital dan kad raya tradisi,” katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Kad Ucapan Raya Hologram 3D didatangkan dalam dua reka corak dan video yang berbeza. Uniknya kad ucapan ini, pelanggan boleh menonton video hologram 3D termasuk bunyi dan lagu raya menerusi aplikasi yang tersedia. Pelanggan perlu memuat turun aplikasi “Hologram Raya” melalui aplikasi Google Play atau Apps Store dan melekatkan projektor plastik hologram pada skrin telefon pintar.

Lebih menarik lagi pada tahun ini, Pos Malaysia dengan kerjasama Primeworks Studios turut mengeluarkan poskad edisi khas filem Melayu bertajuk “Pulang” yang bakal ditayangkan selepas Hari Raya dan melalui aplikasi Hologram Raya, pelanggan dapat menonton tiga trailer eksklusif filem dan sedutan pembikinan filem tersebut.

Dengan harga RM12, setiap pek ucapan Hologram 3D Raya mengandungi  satu kad ucapan Hari Raya, satu sampul dengan setem  50 sen, satu projektor plastik hologram dan satu poskad filem “Pulang” edisi terhad.

Kad Ucapan Raya 3D Hologram boleh didapati di 400 cawangan pejabat pos atau secara dalam talian di laman sesawang www.eziemall.com

Selain itu, Pos Malaysia masih lagi meneruskan kempen pengeposan kad ucapan dengan menawarkan kadar penghantaran istimewa domestik bagi kad ucapan raya bernilai 50 sen bermula 17 Mei hingga 12 Jun ini.






Pos Malaysia, hologram, raya

Artikel Lain