PETALING JAYA: Datin Seri Rosmah Mansor berkata keluarganya harus dilayan seperti manusia biasa yang memiliki maruah dan harga diri. Isteri bekas perdana menteri Datuk seri Najib Razak itu berkata demikian susulan serbuan pihak berkuasa di kediamannya bagi melengkapkan siasatan mereka dalam kes 1MDB. "Saya memahami serbuan pada waktu subuh itu. Saya faham. Saya percaya seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. "Sebaliknya, kami harus diperlakukan seperti manusia biasa. Ada hak untuk memiliki maruah," kata Rosmah dalam temu bual dengan Malay Mail. Rosmah berkata keluarganya tenang berdepan tindakan pihak berkuasa tetapi berharap perkara itu akan berakhir tidak lama lagi. "Kami menerimanya dengan baik, saya fikir kami agak tenang, menjadi keluarga ahli politik. Ini hanya satu daripada cubaan dan kesukaran, bahaya dalam politik. "Saya mahu perkara ini berakhir secepat mungkin kerana kami mahu meneruskan kehidupan kami," Rosmah dipetik sebagai berkata. Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman baru-baru ini menyerbu beberapa lokasi, termasuk kediaman Najib di Taman Duta dan merampas kotak beg tangan, pakaian dan hadiah. Polis turut menyerbu tiga unit kondominium yang dikaitkan dengan Najib di Pavilion Residences, Bukit Bintang dan merampas 72 beg wang tunai, barangan kemas dan barang berharga lain, serta 284 kotak beg tangan berjenama mewah.