PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini memulakan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri. Beliau yang tiba di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini pada 10 pagi dan disambut warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Sebaik tiba, beliau turut mengimbas kad merakam waktu. Selepas itu, Dr Wan Azizah menandatangani surat memulakan tugas dan kemudiannya menghadiri taklimat khas yang diberikan Ali. Dr. Wan Azizah, 66, dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekali gus menjadi Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia.- Bernama