SHAH ALAM: Pengganti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu memiliki kriteria seperti beliau bagi menerajui negeri itu ke arah yang lebih baik. Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, calon menteri besar baharu di Selangor seharusnya memahami aspirasi rakyat seperti yang dilakukan Mohamed Azmin. “Apa yang pasti, mereka yang dipilih nanti seharusnya mempunyai ciri seperti Mohamed Azmin yang sentiasa berintegriti dan berwibawa tinggi dalam pentadbiran. “Malah individu yang dipilih nanti seharusnya mempunyai ketajaman fikiran serta hubungan baik dengan sultan,” katanya kepada Sinar Harian. Dalam pada itu, Jeniri berkata, calon menteri besar baharu di Selangor dilihat bakal berdepan cabaran dalam meneruskan usaha-usaha baik dan inisiatif peduli rakyat di negeri tersebut selepas ini. Beliau berkata, kesinambungan itu penting namun calon tersebut seharusnya menganjakkan prestasinya ke tahap lebih tinggi berbanding Azmin selepas ini. “Ini adalah untuk pastikan kewibawaan calon itu terpelihara dan nama baik Pakatan Harapan (Harapan) akan terus harum di mata rakyat untuk pastikan kemenangan mereka pada PRU15 nanti,” katanya. Tambah beliau, pihaknya yakin Pakatan Harapan bakal meletakkan calon yang berkelayakan untuk menerajui negeri itu ke satu tahap yang lebih baik pada masa akan datang. - Sinar Harian