PETALING JAYA: Selebriti popular, Azwan Ali memberitahu dia tidak akan memaafkan mana-mana individu yang menjadikan dirinya sebagai bahan jenaka di laman sosial. Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA berkata, dia sedar mengenai 'troll' terbaharu yang tular di Twitter, mengaitkan dirinya dengan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. "Walaupun saya sudah tak ada akaun Twitter, saya tahu mengenai jenaka berkenaan. "Saya tahu ia sekadar jenaka dan tidak menggunakan sebarang ayat kurang ajar, tapi saya tetap tak akan maafkan mereka. "Go ahead, buatlah. Teruskan menipu dan menyamar sebagai saya. Kau tunggu azab kubur nanti," kata Azwan ketika dihubungi mStar Online, Khamis. Azwan diminta mengulas mengenai tweet yang memaparkan dialog perbualan telefon rekaan netizen melibatkan dirinya dengan Azmin yang baru dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Tambah Azwan, ramai yang menganggap dia sudah berbaik dengan Azmin sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali. "Bila masa saya berbaik dengan Azmin, saya belum terbuka hati lagi untuk memaafkannya. "Sebesar hama pun saya tak maafkan walaupun dia dah jadi menteri sekarang," kata Azwan lagi. Menurut Azwan, dia kini hanya mempunyai akaun Facebook setelah Instagram miliknya digodam buat kali kelima, dua minggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu. Menerusi PRU14, Azwan bertanding di kerusi DUN Bukit Antarabangsa menentang abangnya dan tiga lagi calon lain. Dia bagaimanapun hilang wang pertaruhan selepas memperoleh 90 undi sahaja. Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, Azwan memberitahu dia hanya berehat di rumah dan fokus beribadat sempena kedatangan bulan Ramadan. "Selepas PRU14, tempahan rendang naik mencanak tapi seorang pun tak merasa. Saya puasa, bersahur, berbuka, terawih dan tidur, itu sahaja. "Sudah 10 tahun setiap kali Ramadan saya akan melakukan umrah di Mekah. Tahun ini saya berpuasa di tanah air sahaja tapi saya berdoa agar dapat menunaikan Haji pula selepas ini. "Walaupun orang cakap saya tak ada job, saya masih hidup macam biasa. Rezeki itu di tangan Allah dan saya percaya dengan rezeki dariNya," ujar Azwan lagi.