suria

Kakitangan SPAD tidak dipecat - Anthony Loke

Anthony Loke. Foto MOHD SAHAR MISNI/The Star

PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberi jaminan kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak akan diberhentikan.

Beliau berkata, peranan SPAD akan diambil oleh Kementerian Pengangkutan terutama di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Jangan bimbang... semua kakitangan SPAD akan diserapkan sebagai kakitangan tetap di bawah JPJ. Tapi kita akan kaji kalau ada mana-mana perjawatan yang bertindih.

“Kakitangan tetap di SPAD tidak akan dipecat,” katanya pada sidang media pada Khamis.

Loke berkata, terdapat 1,000 kekosongan jawatan di JPJ dan ia akan diisi oleh kakitangan SPAD.

“Ada kekosongan 1,000 jawatan terutama di bahagian penguatkuasaan dan sebagainya. Saya difahamkan terdapat kira-kira 800 kakitangan tetap di SPAD,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya semua pihak tidak membangkitkan isu mengenai pemansuhan SPAD sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu.

Malahan, katanya, menepis dakwaan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan tidak prihatin terhadap rakyat susulan pemansuhan SPAD.

“Kita juga menjaga kebajikan penjawat awam termasuk kakitangan SPAD,” ujar Loke sambil menambah buat masa ini SPAD terus beroperasi terutama aspek penguatkuasaan.

"Mereka akan bekerja seperti biasa, tiada siapa yang akan dipecat," tambah beliau.

Pada Rabu, Dr Mahathir dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama mengumumkan beberapa agensi dan badan kerajaan akan dibubarkan sebagai usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan kewangan negara.

Perdana Menteri berkata, beberapa agensi itu termasuk SPAD, Majlis Profesor Negara (MPN); Jawatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

SPAD, Anthony Loke, JPJ

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan