PETALING JAYA: Rakaman audio tular 'Laurel vs Yanny' bukan sahaja mencetuskan perdebatan di peringkat global malah turut mendapat perhatian rakyat di negara ini. Bagi mereka yang tidak tahu, audio 'Laurel vs Yanny' menimbulkan kebingungan kerana setiap individu akan mendengar jawapan yang berlainan. Individu yang mendengar sebutannya Yanny langsung tidak akan mendengar ia disebut Laurel dan begitulah sebaliknya. Rakaman berkenaan mula tular setelah seorang remaja berusia 15 tahun dari Atlanta berkongsi audio tersebut di Instagram miliknya pada 11 Mei lalu. Ia semakin tular setelah dikongsikan oleh laman popular Amerika Syarikat, Reddit, pada hari berikutnya. Public Health Malaysia (PHM), turut memuat naik audio ini di Facebooknya dan setakat ini ia telah ditonton lebih 166,000 kali. Berdasarkan undian yang dibuat, 47.9 peratus netizen Malaysia mendengar perkataan Yanny manakala 50.5 peratus lagi mendengar Laurel. Bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan netizen, PHM tampil dengan penjelasan mengenai isu berkenaan. Menurut PHM, jawapan sebenar adalah Laurel dan audio itu dirakam 11 tahun lalu oleh seorang penyanyi opera, Aubrey Jones. Kecelaruan audio itu dikatakan berlaku atas beberapa faktor seperti kualiti audio yang digunakan, sensitiviti pendengaran dan bagaimana minda menterjemah sesuatu bunyi. Apa yang dianggap dan disangka oleh setiap individu, serta frequensi audio juga digariskan sebagai faktor penyebab kecelaruan audio berkenaan. Tambah PHM lagi, infomasi akustik yang membuatkan seseorang individu mendengar Yanny adalah frequensi yang lebih tinggi berbanding informasi akustik Laurel. Ia selaras dengan penjelasan oleh profesor audiologi Universiti Minnesota, Benjamin Munson. "Orang yang lebih muda, pada umumnya lebih cenderung mendengar Yanny, sementara orang yang lebih berusia mungkin cenderung untuk mendengar Laurel. "Ada pakar berpendapat bahawa apa yang anda dengar bergantung kepada jenis peranti, fon telinga dan pembesar suara yang digunakan," tulis PHM. Ia juga bergantung kepada tahap frekuensi, amplitud, dan jenis pembesar suara yang digunakan semasa klip tersebut dimainkan. Namun, kesemua hipotesis ini belum lagi dibuktikan secara saintifik. PHM turut berpendapat kajian yang lebih khusus perlu dilakukan untuk mengetahui punca kekeliruan audio berkenaan. Di laman Facebook PHM misalnya, ramai netizen meninggalkan komen mereka mengenai audio tersebut. "Jadi memang terbuktilah saya masih muda sebab dengar Yanny walaupun sebenarnya Laurel," tulis Siti Zanaliza. "Saya perlahankan volume, berada dalam jarak yang jauh, dengar Yanny. Kalau kuatkan volume dan dekatkan telefon di telinga, dengar Laurel pula," tulis Nursya Fini. Seorang lagi netizen mengakui bingung kerana dia berupaya mendengar kedua-dua perkataan Yanny dan Laurel.