PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Naib Presiden PKR Rafizi Ramli ada kalanya membangkitkan kemarahannya kerana lantang bersuara. Ketua Umum PKR itu bagaimanapun menyifatkan Rafizi sebagai seorang pemuda bijak dan mampu menggerakkan anak muda lain. "Rafizi ni pemuda bijak, dia wujudkan Invoke dan gerakkan anak muda. "Dia mempunyai hak untuk menyuarakan pandangannya. Dia ni berbeza sikit, kadang-kadang saya pun dia kritik, tapi saya OK, walaupun agak marah juga," kata Anwar kepada Oriental Daily. Anwar berkata demikian apabila ditanya tentang Rafizi dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Rafizi baru-baru ini mengkritik pelantikan menteri-menteri Kabinet di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dianggap tidak berunding dengan PKR. Anwar kemudian mengeluarkan kenyataan dirinya memberi sokongan penuh kepada keputusan perdana menteri dan menggesa semua ahli bertindak sama. Mengulas lanjut Anwar berkata walaupun Rafizi kadang-kadang lantang bersuara, ia bukan alasan untuk menamatkan karier politiknya. "Kamu mesti benarkan mereka ini berkembang dan jangan bunuh mereka secara politik seperti dilakukan kerajaan lama," katanya. Dalam pada itu Anwar juga memuji Azmin sebagai menteri besar Selangor dan kini menteri ekonomi. Beliau juga mahu Rafizi dan Azmin terus bekerjasama supaya agenda reformasi dapat dijayakan.