suria

Shahidan didesak sembah maaf kepada Raja Perlis

ARAU: Keluarga besar Jamalullail Perlis hari ini mendesak Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis  Datuk Seri Shahidan Kassim menyembah maaf ke atas Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail kerana dianggap menderhaka terhadap titah baginda.

Wakil keluarga itu, Syed Zolkifli Syed Abdul Rahman Jamalullail berkata ini ekoran tindakan Shahidan dan sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang memboikot Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar di Istana Arau pada Khamis.

"Mereka perlu memohon maaf kerana baginda pasti berasa tersinggung, tidak sedap hati serta menimbulkan ketidak senangan hati di kalangan semua rakyat Perlis," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau di sini, Jumaat.

Syed Zolkifli berkata laporan itu juga dibuat ekoran kenyataan Shahidan pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam yang menyebut bahawa Tuanku tidak perlu campur tangan dalam pentadbiran, yang sepatutnya tidak diucapkan kepada Tuanku.

Katanya tindakan Shahidan dan semua Adun berkenaan juga melibatkan maruah Tuanku dan seluruh keluarga baginda, justeru mereka harus memohon maaf secara terbuka kepada Raja Perlis dan menghormati institusi Diraja.

Dalam pada itu, Adun Kuala Perlis daripada PKR, Nor Azam Karap turut membuat laporan polis hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap Shahidan yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Raja Perlis.

"Saya mewakili orang ramai berasa tidak puas hati dengan tindakan Shahidan dan meminta agar pihak berkuasa menyiasat perkara ini," katanya kepada pemberita selepas berhimpun bersama orang ramai di hadapan Masjid Al Hussain di Kuala Perlis dekat sini bagi menyatakan sokongan terhadap baginda Tuanku.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perlis, Dr Ammar Hassan dalam sidang akhbar berasingan di sini berkata sikap tidak menghormati institusi Diraja perlu dihentikan dan menggunakan saluran komunikasi yang betul bagi menyuarakan sebarang pendapat.

"Jaga tulisan, jaga adab dan jangan ada pandangan negatif kepada baginda kerana ia merupakan satu badai emosi yang hebat terhadap rakyat terutama golongan muda dan ini mendatangkan nama buruk juga pada parti berkenaan," katanya.- Bernama

Raja Perlis, Shahidan Kassim

Artikel Lain