suria

Jamal didakwa melakukan mudarat awam, prosiding di hospital

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor tahun lepas.

Prosiding kes itu dijalankan di  Hospital Pakar Ampang Puteri, di sini kerana Jamal, 48, sedang dirawat  di wad Premier  hospital itu bagi masalah sakit belakang.

Jamal mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan  terhadapnya dibacakan di  hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin daripada Mahkamah Majistret Shah Alam.

Dia didakwa melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam di hadapan pintu pagar keluar pos (1) bangunan SUK di Shah Alam  pada 10.15 pagi, 5 Oktober 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400, jika sabit kesalahan.

Pengamal media tidak dibenarkan masuk ke dalam wad untuk mengikuti prosiding kes itu yang berlangsung kira-kira setengah jam bermula 10.45 pagi Jumaat.

Ketika ditanya pemberita, Timbalan Pendakwa Raya  Megat Mahathir Megat Tharih Afendi memberitahu  mahkamah  membenarkan Jamal diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Jun untuk sebutan semula kes.

Beliau berkata pihak pendakwaan mencadangkan wang jaminan RM4,000 bagaimanapun  peguam  Mohd Nasir Yusof yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM2,000.

Pada 5 Oktober  tahun lepas, Jamal bertindak memecahkan botol minuman keras itu di hadapan pintu masuk utama bangunan tersebut sebagai simbolik bantahan terhadap sebarang penganjuran pesta arak di negeri itu.- Bernama

Jamal Md Yunos

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain