PROGRAM ‘Berbuka Puasa ala Madinah’ adalah antara kelainan di Karnival Karangkraf 2018 yang diadakan sempena Ramadan pada 1 hingga 3 Jun ini. Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, program itu mengambil inspirasi suasana berbuka puasa beramai-ramai di Masjid Nabawi, Madinah. Paling istimewa, menurut beliau, juadah berbuka puasa disediakan secara percuma dengan konsep infak dan terbuka kepada semua untuk hadir. “Selain dapat berbuka puasa beramai-ramai, kita juga nak menggalakkan budaya infak dalam kalangan orang Islam. Di Madinah dan Masjidil Haram, makanan untuk berbuka puasa disedekahkan oleh orang ramai. “Selepas berbuka, mereka gotong-royong bersihkan tempat dan kemudian solat. Kita nak ciptakan suasana yang sama di Dataran Karangkraf sepanjang tiga hari itu,” katanya. Menurutnya, Karangkraf akan menyediakan 20,000 pek makanan untuk tiga hari tersebut dan turut mengalu-alukan mana-mana pihak lain yang ingin menyumbang. “Kita akan sediakan makanan asas seperti nasi, kurma dan air minuman. Namun, kita beri peluang kepada pihak lain khususnya pengusaha kedai makan dan tauke restoran untuk sama menyumbang. “Inilah masanya untuk merebut pahala di bulan Ramadan kerana lagi ramai yang infak, lagi ramai boleh datang berbuka puasa. Mereka boleh sumbangkan dalam bentuk makanan atau wang dan pihak kami akan hidangkan pada semua yang hadir,” katanya di sini, Jumaat. Hussamuddin berkata, Karangkraf menjangkakan kehadiran sehingga 10,000 orang pada hari kedua dan ketiga program. “Kita akan duduk bersila beramai-ramai dan berbuka puasa. Selain berbuka puasa percuma, mereka juga boleh beli makanan lain di gerai-gerai disediakan. “Kita turut sediakan kemudahan seperti masjid yang boleh memuatkan 1,000 jemaah dan ruang parkir yang mencukupi. Selepas itu, pengunjung boleh sertai pelbagai program ilmu sepanjang Karnival Karangkraf 2018,” katanya. Hussamuddin turut menjemput semua pemimpin tanpa mengira parti politik dan pangkat untuk menghadiri program berbuka puasa ini. Bagi pihak yang berminat untuk menginfak, boleh menghubungi urusetia Karnival Karangkraf, Charl Fitry di talian 019-388 9581.-SinarHarian